KUALA LUMPUR - Orang ramai mengambil kesempatan cuti umum sempena sambutan Tahun Baharu Cina dengan meluangkan masa bersama keluarga di beberapa lokasi tumpuan sekitar ibu kota pada Selasa.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan tumpuan seperti Dataran Merdeka, KLCC dan Pavilion mula dipenuhi pengunjung seawal jam 10 pagi termasuk pelancong tempatan dan warga asing yang tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan berlatarbelakangkan mercu tanda terkenal negara.
Seorang pekerja khidmat pelanggan, Ahmad Hasif Mat Saad, 34, berkata, dia membawa keluarganya ke kawasan itu bagi melawat mercu tanda bersejarah, Bangunan Sultan Abdul Samad yang dibuka kepada orang ramai sejak 2 Februari lalu.
“Saya lihat ramai berkongsi pengalaman melawat Bangunan Sultan Abdul Samad di media sosial.
“Jadi, saya ambil peluang cuti ini untuk membawa anak-anak berjalan-jalan dan melihat sendiri sejarah bangunan ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurut Ahmad Hasif yang berasal dari Ipoh, Perak, lawatan itu merupakan pengalaman baharu buat dirinya dan keluarga kerana mereka berpeluang menyaksikan sendiri keunikan seni bina serta nilai sejarah mercu tanda berkenaan.
“Kali ini, saya turut membawa keluarga dari Ipoh untuk sama-sama datang berjalan-jalan di sini,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga, Zarak M Zain, 50, berkata, dia membawa keluarganya ke Dataran Merdeka bagi mencuba makanan dan minuman yang dijual di restoran dalam bangunan berkenaan.
“Kami sudah melawat dalam bangunan tersebut, rekaannya memang bagus tetapi tidak berkesempatan untuk makan kerana beberapa restoran ditutup dan selebihnya pula penuh dengan orang ramai.
“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana dapat masuk dan melihat sendiri bangunan warisan ini. Ia juga bagus untuk anak-anak kerana mereka boleh mengenali tempat-tempat di Kuala Lumpur ini dari segi bangunan atau jalan,” ujarnya.
Dalam pada itu, arkitek, Puteri Elina Khir Annuar, 29, berkata, dia dan suaminya meluangkan masa cuti mereka dengan bersiar-siar dan melihat pemandangan di Dataran Merdeka.
“Selain itu, beberapa rakan kami juga antara yang terlibat dalam pengubahsuaian Bangunan Sultan Abdul Samad ini, jadi kami datang untuk melihatnya.
“Lagipun, ramai yang pulang ke kampung sempena cuti, jadi kami ambil peluang untuk bersiar-siar di Dataran Merdeka pada hari ini,” katanya.
Selain itu, mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Nur Syazwani Mohd Hazry, 22, berkata, dia yang berasal dari Pulau Pinang memanfaatkan cuti perayaan kali ini dengan bersiar-siar, mengambil gambar dan membeli-belah bersama keluarga di KLCC.
“Kami bercuti selama tiga hari bermula Isnin dan insya-ALLAH selepas selesai berjalan dalam pusat beli-belah KLCC, rancangan seterusnya mungkin akan pergi ke Putrajaya,” katanya.