[DIKEMASKINI] PERAK melakar sejarah tersendiri pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 apabila menewaskan Kedah 2-1 pada perlawanan akhir bola sepak di Stadium Perak, semalam.

Kemenangan berkenaan menyaksikan skuad Chor itu melengkapkan hatrik setelah muncul juara pada edisi 2014 dan 2016 lalu selain menyamai pencapaian Pahang yang muncul juara pada edisi 1992, 1994, 1996 dan Terengganu (2006, 2008, 2010).

Untuk rekod, Pahang turut muncul juara pada edisi 2000 diikuti Perak (2002).

Kedua-dua pasukan bermula garang sebaik wisel permulaan bagi membuka jaringan.

Bagaimanapun, Kedah dilihat lebih banyak mendominasi perlawanan babak pertama menerusi beberapa percubaan bahaya ke gawang Perak.

Bagaimanapun, semua asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahankan hingga tamat babak pertama.

Kedah dilihat semakin menggandakan asakan pada babak kedua dan hasilnya kapten Kedah, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam berjaya membuka jaringan pada minit ke-64.

Tersentak dengan jaringan berkenaan, kesebelasan Perak mula bangkit mengatur serangan ke gawang Kedah dan minit ke-67, menyaksikan penyerang Muhammad Alif Safwan Mohd Sallahuddin menanduk masuk jaringan penyamaan.

Gol berkenaan dilihat semakin menyemarakkan kesebelasan Perak dan pada minit ke-70,   Muhammad Asyraaf Mat Pushni bijak menyambar bola di depan gawang Kedah, untuk gol kedua tuan rumah.

Ketinggalan dua gol bagaimanapun dilihat tidak melemahkan semangat kesebelasan Kedah untuk terua mengasak ke gawang Perak bagi menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, semua asakan berkenaan berjaya dikekang benteng pertahanan Perak hingga ke wisel penamat.

Turut berangkat menyaksikan perlawanan tersebut,  Raja Dihilir Perak,  Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

Hadir sama mengiringi, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu; Exco Kerajaan Perak, Howard Lee Chuan How, Tan Kar Hing dan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

Majlis penyampaian pingat disempurnakan Raja Iskandar Dzulkarnain dan Tengku Sarafudin Badlishah.

Sementara itu, ketua jurulatih Perak, Chan Wing Hoong menyifatkan kesebelasan anak didiknya sebagai 'Raja Kebangkitan' pada temasya Sukma kali ini.

"Kita sudah beberapa kali berjaya bangkit daripada ketinggalan, termasuklah pada peringkat separuh akhir.

"Kita adalah King Of Comeback!" katanya.

Perak: Mohammad Nasrullah Abdul Aziz (kapten), Muhamad Farid Nezal, Muhammad Aizzat Maidin Kotty, Muhamad Asyraaf Mat Pushni, Mohamad Al-Fateh Mohd Afandi, Mohamad Aizat Safuan Razali, Muhammad Nazirul Afif Ibrahim, Derek Leong Wei Jian, Muhammad Alif Safwan Mohd Sallahuddin, Filemon Anytie Standly, Muhammad Adib Abdul Raob

Kedah: Muhd Asri Muhamad, Abdul Hadi Hasbollah, Mohd Loqman Hakim Marzuki, Muhammad Suhaimie Saad, Muhammad Asnawi Sonkurnain, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (kapten), Aminuddin Abu Bakar, Mohd Fayadh Mohd Zulkifli, Mohamamd Hidhir Idri, Mohamad Fadhli Rithwan, Mohd Aiman Afif Md Afizul

Pengadil: Mohd Shahrizan Mohamad Solihin