Kumar kongsi teknik, ilmu penjaga gol bersama pelajar sekolah

Kumar (tiga dari kanan) berkongsi ilmu sebagai penjaga gol kepada pelajar sekolah. Foto MHC
Kumar (tiga dari kanan) berkongsi ilmu sebagai penjaga gol kepada pelajar sekolah. Foto MHC
A
A
A

SERAMAI 10 pelajar berusia 12 hingga 17 tahun mendapat perkongsian ilmu cukup berharga daripada bekas penjaga gol terbaik negara, S. Kumar sempena kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 yang sedang berlangsung dari 4 hingga 11 Mei di Ipoh.

Kumar yang kini mengalas tanggungjawab sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan turut berkongsi pengalaman serta mengajar beberapa teknik asas dan ciri-ciri yang perlu ada untuk menjadi seorang penjaga gol terbaik pada masa akan datang.

"Penjaga gol adalah posisi yang tidak semua boleh bermain dan ia sangat penting kepada pasukan. Saya gembira untuk menyampaikan ilmu dan tunjuk ajar kepada bakat-bakat muda ini.

"Saya percaya jika mereka berusaha keras dan memiliki disiplin yang tinggi, pasti suatu hari nanti mampu menjadi pemain yang berjaya," katanya menerusi kenyataan daripada penganjur PSAS.

Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat itu disertai oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Sukan Negeri Perak, Sekolah Kebangsaan Jelapang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan, Ipoh.

Kumar yang beraksi bersama skuad kebangsaan selama dua dekad dengan lebih 300 penampilan sehingga bersara pada awal 2020, pernah membantu Malaysia meraih pingat perak Sukan Asia 2010 dan 2018, selain dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik Piala Asia 2009.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: