SOALAN: Boleh ke cucu yang kematian ibu bapa sebelum kematian datuk atau neneknya menerima harta pusaka?

JAWAPAN: Kebiasaannya cucu yang kematian bapa, sebelum kematian datuk atau neneknya adalah terhalang daripada menerima harta pusaka, disebabkan datuk atau nenek masih mempunyai anak lelaki lain yang masih hidup. Begitu juga, cucu-cucu yang kematian ibu sebelum kematian datuk atau neneknya, tidak mendapat harta pusaka daripada datuk atau nenek kerana mereka tergolong sebagai waris dzawil arham.

Namun, keadaan ini telah berubah apabila undang-undang berkaitan WASIAT WAJIBAH telah diwujudkan di negara ini. Wasiat wajibah merupakan pemberian harta pusaka kepada cucu yang kematian ibu atau bapa sebelum kematian datuk atau nenek. Di Malaysia, perkara berkaitan wasiat wajibah merupakan suatu yang kurang diketahui oleh umum.

Sebenarnya Seksyen 27 Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Sembilan) 2004, Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Melaka) 2005 dan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Kelantan) 2009 telah memperuntukkan secara khusus berhubung dengan wasiat wajibah dalam enakmen masing-masing.

FATWA WASIAT WAJIBAH

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 24 Disember 2010 telah memutuskan pelaksanaan wasiat wajibah adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut :

(i) Anak lelaki dan perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan (cucu) ke bawah adalah layak untuk menerima wasiat wajibah.

(ii) Hendaklah kedua ibu dan bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada atuk atau nenek atau ibu atau bapa meninggal dunia serentak dengan atuk atau nenek dalam kejadian yang sama atau berlainan.

(iii) Cucu lelaki dan perempuan bukan merupakan waris kepada harta pusaka datuk. Sekiranya mereka merupakan waris ke atas harta pusaka secara fardhu atau ta’sib maka mereka tidak layak untuk mendapat wasiat wajibah walaupun bahagiannya sedikit berbanding wasiat wajibah.

(iv) Sekiranya anak lelaki atau anak perempuan berlainan agama dengan ibu atau bapa atau terlibat dengan pembunuhan ibu atau bapa, maka dia tidak berhak mendapat wasiat wajibah daripada harta pusaka datuknya.

(v) Sekiranya datuk atau nenek telah memberikan harta kepada cucunya melalui hibah, wakaf, wasiat dan sebagainya dengan kadar yang sepatutnya diterima oleh anak lelaki atau anak perempuan mereka sekiranya mereka masih hidup, cucu tidak lagi berhak untuk mendapat wasiat wajibah. Sekiranya pemberian tersebut adalah kurang hak yang sepatutnya diterima oleh cucu daripada bahagian anak lelaki atau anak perempuan, maka hendaklah disempurnakan bahagian tersebut.

(vi) Anak akan mengambil bahagian faraid bapa atau ibu yang meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek dan kadar tersebut hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 daripada nilai harta pusaka. Sekiranya bahagian tersebut 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3, maka hendaklah dikurangkan pada kadar 1/3 melainkan setelah mendapat persetujuan ahli-ahli warisnya yang lain.

(vii) Pembahagian wasiat wajibah boleh dilaksanakan setelah didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.

(viii) Pembahagian wasiat wajibah kepada cucu-cucu yang berhak adalah berdasarkan kepada prinsip faraid iaitu seorang anak lelaki menerima bahagian-bahagian orang perempuan.

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG

Subseksyen 27(1), Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999 (Pindaan 2016) telah memperuntukkan bahawa:

(1)Tertakluk kepada subseksyen (2), jika seorang datuk atau nenek mati tanpa membuat apa-apa wasiat kepada cucu daripada anak lelakinya atau anak perempuannya yang mati terlebih dahulu daripada datuk atau nenek itu atau yang mati serentak dengan datuk atau nenek itu, cucu itu berhak mendapat wasiat wajibah.

(2)Pelaksanaan wasiat wajibah yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah memenuhi syarat yang berikut:

(a)Cucu itu bukan waris kepada harta pusaka datuk atau nenek yang mati;

(b)Bapa atau ibu kepada cucu itu beragama Islam pada saat kematiannya;

(c)Cucu itu tidak terlibat dengan pembunuhan datuk atau nenek yang mati; dan

(d)Cucu itu tidak menerima harta daripada datuk atau nenek yang mati sama ada melalui hibah atau wasiat atau lain-lain pemberian mengikut kadar wasiat wajibah yang selayaknya diterima oleh cucu itu.

(3)Pembahagian wasiat wajibah di bawah subseksyen (1) boleh dilaksanakan setelah didahulukan urusan berkaitan dengan pengurusan jenazah, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang-piutang.

(4)Walau apa pun subseksyen (1), jika seorang datuk atau nenek mati dengan membuat wasiat, hibah atau lain-lain pemberian kepada cucunya, cucu itu masih berhak untuk mendapat wasiat wajibah sekiranya dia memenuhi syarat di bawah perenggan (2)(a), (b) dan (c).

Subseksyen 27A. (1) Kadar wasiat wajibah bagi cucu yang berhak hendaklah mengikut bahagian faraid bapa atau ibunya yang layak diterima oleh bapa atau ibunya jika mereka masih hidup dan hendaklah tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka datuk atau nenek yang mati.

(2) Kadar wasiat wajibah adalah seperti berikut:

(a)jika kadar bahagian faraid bapa atau ibu kepada cucu itu kurang daripada satu pertiga daripada harta pusaka datuk atau nenek yang mati, kadarnya hendaklah mengikut kadar bahagian faraid tersebut;

(b)jika kadar bahagian faraid bapa atau ibu kepada cucu itu melebihi daripada satu pertiga daripada harta pusaka datuk atau nenek yang mati, kadarnya hendaklah dihadkan kepada satu pertiga daripada harta pusaka itu melainkan jika mendapat persetujuan daripada waris datuk atau nenek yang mati itu;

(c)jika datuk atau nenek yang mati itu telah mewasiatkan kepada cucunya mengikut subseksyen 27(4) dengan kadar yang melebihi bahagian faraid bapa atau ibunya daripada harta pusaka datuk atau nenek yang mati itu tetapi tidak melebihi satu pertiga lebihan tersebut dikira sebagai wasiat ikhtiyariyyah yang berhak diterima oleh cucu itu tanpa perlu mendapat persetujuan daripada waris datuk atau nenek yang mati itu; atau

(d)jika datuk atau nenek yang mati telah mewasiatkan atau menghibahkan atau memberikan harta melalui apa-apa pemberian kepada cucu itu mengikut subseksyen 27(4) dengan kadar yang kurang daripada bahagian faraid bapa atau ibunya dalam harta pusaka datuk atau nenek yang mati itu, kadarnya hendaklah mengikut kadar wasiat wajibah.

27B. Pembahagian harta yang telah ditentukan kadarnya di bawah seksyen 27A hendaklah mengikut aturan berikut:

(a)jika seorang cucu, dia berhak kepada keseluruhan wasiat wajibah;

(b)jika lebih daripada seorang cucu dan terdiri daripada semua lelaki atau perempuan, pembahagian wasiat wajibah hendaklah dibuat secara sama rata; atau

(c)jika terdapat gabungan cucu lelaki dan perempuan, pembahagian wasiat wajibah hendaklah mengikut nisbah yang telah ditentukan oleh hukum faraid  bagi anak lelaki dan perempuan.