MENGADAKAN rumah terbuka sempena Aidilfitri bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan persaudaraan sesama manusia. Tetapi juga dilihat sebagai landasan terbaik untuk merapatkan kembali jurang pemisah, serta peluang saling kenal mengenali di antara jiran tetangga.

Sepertimana firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang Mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu mendapat rahmat.”

Meskipun demikian, dalam kemeriahan dan keterujaan menyambut lebaran itu, ada beberapa perkara yang sering kita terlepas pandang. Antaranya, pembaziran, percampuran luar kawalan, menunjuk-nunjuk, berhutang, bermewah-mewah, tidak menutup aurat, dan tidak menunaikan kewajipan kepada-Nya setiap kali masuk waktu solat.

 

Menurut, Pensyarah Kanan Pengajian Islam  di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat, keterujaan itu adakala menyebabkan seseorang itu terlupa tujuan asal majlis dibuat.

“Hari ini ramai yang mula terikut amalan rumah terbuka sebagai kesinambungan amalan ziarah sempena hari raya. Di samping menepati suruhan ziarah menziarahi, rumah terbuka juga boleh menjadi kenduri kesyukuran yang menepati saranan dengan memberi makan kepada orang lain.

“Namun jangan terlepas pandang beberapa perkara, elakkan daripada rasa ingin menunjuk-nunjuk, meraih pujian dan bersaing antara satu sama lain. Sebaiknya utamakan jiran tetangga, sanak saudara, sahabat handai tanpa memilih kasih dengan mendahulukan orang kaya atau sebagainya.

“Seseorang itu juga perlu elakkan pembaziran, bermewah-mewah, apatah lagi jika ia di luar kemampuan sehingga sanggup berhutang dan sebagainya. Fokus kepada tujuan asal konsep ziarah menziarahi yang disuruh oleh ALLAH SWT, iaitu menghubungkan tali silaturahim sesama Muslim,”jelas beliau panjang lebar.

Jangan mendesak

Dalam masa yang sama Mohd Nor Mamat turut menegaskan, elakkan rumah terbuka yang bercampur baur dengan maksiat pergaulan bebas dan pendedahan aurat. Begitu juga dengan budaya mendesak orang lain untuk mengadakan rumah terbuka.

“Memandangkan amalan rumah terbuka akan membabitkan ramai tetamu, serta kos yang tinggi. Justeru elakkan mendesak orang lain mengadakan rumah terbuka yang mungkin membebankannya. Hakikatnya, konsep ziarah menziarahi tidak perlukan masa atau majlis tertentu, sebaliknya waktu-waktu biasa juga boleh dibuat,”katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Nor Mamat berkata, budaya ziarah menziarahi tidak hanya perlu ditetapkan pada hari raya sahaja. Sebaliknya amalan ini merupakan suatu tuntutan sepanjang masa.

“Saya percaya masyarakat kita menjadikan adat berkunjung dan ziarah menziarahi di hari raya, memandangkan ia adalah waktu terbaik untuk bertemu dan berkumpul ramai. Tanpa menafikan saranan ziarah menziarahi pada waktu-waktu lain.

“Apabila saranan kunjung mengunjungi ini dibuat dalam bulan raya, beberapa tujuan lain dapat dicapai sekali gus. Iaitu bertemu dan bermesra dengan ramai sanak saudara, menghubungkan silaturahim, serta berpeluang untuk berjumpa saudara jauh yang pulang berkumpul di kampung,”katanya.

Menerima tetamu

Tambah beliau lagi, utamakanlah menziarahi ibu bapa dan sanak saudara walaupun tidak disediakan sebarang majlis ataupun makan-makan.  

“Kita juga hendaklah bersedia menerima sesiapa sahaja tetamu yang datang berziarah. Serta elakkan berbuat alasan, kerana kedatangan mereka ini membawa rahmah dan barakah kepada kita.

“Ketika berziarah, adab pergaulan juga hendaklah dijaga, jangan sampai boleh membatalkan pahala ibadah ziarah tersebut. Pergaulan bebas lelaki perempuan, serta aurat dan pergaulan ipar duai, sepupu dan saudara jauh perlu diambil berat.

“Kemesraan itu masih perlu namun jangan sampai batas pergaulan dan adab bersentuhan terabai. Sehingga budaya salam bersalaman dengan semua orang tanpa mengira hukum,”akhiri beliau.