Surau At-Taqwa di Batang Kali pasang 24 panel solar

SEBANYAK 24 panel solar dipasang pada bumbung Surau At-Taqwa Tamu Hill Park di Batang Kali dan kini dalam proses menunggu kelulusan TNB sebelum digunakan. -Foto: Ihsan Surau At-Taqwa Tamu Hill Park
SEBANYAK 24 panel solar dipasang pada bumbung Surau At-Taqwa Tamu Hill Park di Batang Kali dan kini dalam proses menunggu kelulusan TNB sebelum digunakan. -Foto: Ihsan Surau At-Taqwa Tamu Hill Park
A
A
A

BUKAN sekadar menjimatkan elektrik, tetapi pemasangan panel solar di surau dilihat berupaya memotivasikan orang ramai untuk melakukan ‘pelaburan’ akhirat dengan cara berinfak.

Itu antara faktor ahli jawatankuasa Surau At-Taqwa Tamu Hill Park Fasa 1 yang terletak di Batang Kali, Selangor memasang 24 unit panel solar pada bumbung premis berkenaan, Ramadan lalu.

Timbalan Pengerusi Surau At-Taqwa, Ustaz Azman Mohd Salleh menjelaskan, projek yang menelan belanja kira-kira RM44,000 itu merupakan hasil sumbangan infak orang ramai sepenuhnya tanpa menggunakan tabungan surau.

USTAZ AZMAN -Foto: Ihsan Surau At-Taqwa Tamu Hill Park
USTAZ AZMAN -Foto: Ihsan Surau At-Taqwa Tamu Hill Park

“Kita perluaskan lagi konsep jariah supaya lebih ramai termotivasi untuk melakukan infak yang mana pahalanya akan sentiasa mengalir apabila ia dimanfaatkan.

“Mungkin ada di antara ahli kariah yang tidak berkesempatan untuk ke surau kerana kesibukan bekerja atau menghadapi kekangan lain, tetapi infak sebegitu antara satu cara untuk mereka mengumpul saham akhirat,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus pada Jumaat.

Majlis perasmian solar surau berkenaan berjaya disempurnakan pada 3 April lalu oleh Penolong Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Selangor, Ustaz Mohd Faiz Misran.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azman menjelaskan, pemasangan panel solar tersebut mampu menjimatkan penggunaan elektrik surau sebanyak RM600 hingga RM700 sebulan.

“Insya-ALLAH, ia akan meminimumkan kos elektrik surau. Mungkin juga bilnya kosong.

“Sebagai institusi agama, pada saya, inilah saatnya untuk kami merebut peluang tersebut, di samping menyahut usaha kerajaan yang menggalakkan tenaga boleh diperbaharui,” katanya sambil menjelaskan projek tersebut turut mendapat lampu hijau daripada Jabatan Agama Islam Selangor.

Sementara itu, Ketua Biro Pembangunan dan Ekonomi Surau At-Taqwa Tamu Hill Park Fasa 1, Mohd Affendy Saberman berkata, panel solar telah siap dipasang, tetapi ia belum digunakan.

DARI kiri, Ustaz Mohd Faiz; Penasihat solar Surau At-Taqwa Tamu Hill Park, Mohd Zain Abdul Jalil dan Mohd Affendy ketika Majlis Perasmian Solar Surau At-Taqwa Tamu Hill Park di Batang Kali, Ramadan lalu. -Foto: Ihsan Surau At-Taqwa Tamu Hill Park
DARI kiri, Ustaz Mohd Faiz; Penasihat solar Surau At-Taqwa Tamu Hill Park, Mohd Zain Abdul Jalil dan Mohd Affendy ketika Majlis Perasmian Solar Surau At-Taqwa Tamu Hill Park di Batang Kali, Ramadan lalu. -Foto: Ihsan Surau At-Taqwa Tamu Hill Park

“Kami dalam proses menunggu kelulusan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum boleh digunakan. Proses ini dijangka mengambil masa sebulan,” katanya.

Menerusi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor tahun 2021, Kerajaan Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke-21/2021 pada 16 Jun 2021 bersetuju agar semua ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri mempergiat usaha pemasangan bumbung solar.

Ia termasuklah melaksanakannya di surau dan masjid dengan pihak terlibat melantik sendiri pembekal yang tersenarai serta diperakui oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.