RAMAI beranggapan, menulis wasiat adalah tidak begitu penting dalam menguruskan perancangan masa hadapan.

Maka, tidak hairanlah ramai di kalangan umat Islam tidak membuat sebarang wasiat, dan hanya meletakkan  urusan harta di bawah faraid sahaja.

Sedangkan membuat wasiat adalah perkara yang digalakkan dalam Islam. Hadis daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya.” (Riwayat al-Bukhari).

Namun, masyarakat kita sering mendakwa bahawa mereka tidak mempunyai harta untuk diwasiatkan. Sedangkan sebagai seseorang yang bertanggungjawab, perlu menyediakan pesanan bertulisan iaitu wasiat selagi anda mempunyai harta dan juga hutang. Jelaskan hutang yang bakal ditinggalkan dan memberikan sebahagian harta kepada benefisiari yang diingini.

Apakah itu Wasiat?

Wasiat merupakan ikrar seseorang ketika masih hidup ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu yang bertujuan kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas meninggal dunia. Dalam kata lain, wasiat adalah dokumen penyelesaian pusaka berbentuk arahan kepada Wasi untuk menyempurnakan segala hasrat pewasiat termasuklah melaksanakan segala strategi perancangan dan pengagihan harta selepas kematian.

Prinsip Umum Wasiat Islam

  1. Pembahagian harta boleh dibuat dengan wasiat kepada bukan waris dan ahli waris yang terlindung daripada menerima harta pusaka melalui faraid.
  2. Hanya satu pertiga (1/3) daripada baki harta selepas ditolak segala hutang yang masih belum diselesaikan boleh diwasiatkan. Dua pertiga (2/3) daripada harta pewasiat adalah merupakan hak ahli waris menurut Hukum Faraid.
  3. Jika sesuatu wasiat dibuat kepada waris, ia adalah tidak berkuat kuasa melainkan jika dipersetujui oleh waris-waris yang lain.
  4. Jika sesuatu wasiat dibuat kepada waris atau bukan waris tetapi pada kadar melebihi daripada satu pertiga (1/3) harta, ia adalah tidak berkuat kuasa melainkan jika dipersetujui oleh waris-waris yang lain.

 

Kelayakan pewasiat (Musi) dan penerima wasiat.

● Berumur lebih 18 tahun;

● Sempurna akal;

● Sukarela dan tidak dipaksa;

● Tidak dihalang mengurus hartanya; dan

● Jika pewasiat sedang sakit, dia hendaklah waras fikiran, baik ingatan dan memahami wasiat dibuat

 

Syarat penerima wasiat (Musolahu)

Penerima wasiat hendaklah orang atau kumpulan orang yang:-

● Wujud dan diketahui dengan jelas;

● Mempunyai kelayakan memiliki harta yang diwasiatkan menurut mana-mana undang-undang bertulis; dan

● Boleh menerima harta yang diwasiatkan menurut Hukum Syarak.

Apakah Harta Yang Boleh Diwasiatkan?

● Harta alih seperti kenderaan, wang tunai, wang simpanan, barang kemas, saham, insurans, hutang dan lain-lain.

● Harta tak alih seperti rumah, tanah, bangunan dan lain-lain.

Siapa Digalakkan Berwasiat?

● Orang yang berharta

● Orang yang lanjut usia

● Orang yang tidak berkahwin

● Orang yang mempunyai anak angkat

● Orang yang berhutang

● Orang yang tiada waris

● Muallaf

Mengapa Wasiat itu penting?

Berwasiat merupakan suatu tindakan mulia untuk menzahirkan keinginan pewasiat terhadap pembahagian harta yang di kumpul semasa hidup. Perwarisan harta yang dirancang melalui wasiat dapat diagihkan untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga tersayang selepas kematian.

Apakah Faedah Penulisan Wasiat?

Pelantikan wasi melalui dokumen wasiat akan memudahkan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka selepas kematian.

  1. Dapat menzahirkan hasrat pengagihan harta untuk tujuan kebajikan dan keluarga tersayang.
  2. Menjamin masa depan insan yang anda sayangi dengan pembahagian yang dihasratkan.
  3. Pelantikan penjaga yang dipercayai melalui wasiat akan menjamin kebajikan anak-anak di bawah umur selepas kematian anda.
  4. Mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh waris-waris yang ditinggalkan.

Apakah Ciri-ciri Wasiat Islam.

1.  Harta yang hendak diwasiatkan mestilah tidak lebih daripada sepertiga (1/3) daripada harta pusaka bersih kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris.

2.  Penerimanya hendaklah bukan waris, iaitu mereka yang tiada hak faraid atas pusaka si mati kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris yang lain.

3.  Jika penerima wasiat meninggal dunia semasa hayat pewasiat, maka wasiat tersebut adalah terbatal.

4.  Jika penerima wasiat meninggal dunia selepas menerima wasiat dan selepas kematian pewasiat, maka haknya boleh diwarisi oleh waris penerima.

5.  Selepas kematian pewasiat, perlu ditolak dahulu kos perbelanjaan pengebumian dan pembayaran hutang si mati.

6.  Wasiat boleh ditarik balik pada bila-bila masa kerana ia hanya berkuat kuasa selepas kematian pewasiat.