Usahawan berumur 40-an lebih berjaya?

Ia merupakan waktu manusia mencapai umur bijaksana menurut Islam, dibuktikan melalui kajian sains

IBNU KATHIR menyatakan bahawa pada usia 40 tahun manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Gambar hiasan/Gambar kecil: DR ROSSIDI
IBNU KATHIR menyatakan bahawa pada usia 40 tahun manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Gambar hiasan/Gambar kecil: DR ROSSIDI
A
A
A

ALLAH SWT berfirman dalam ayat ke-15 Surah al-Ahqaf: "Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, dia berdoa: 'Wahai Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat yang telah ENGKAU berikan kepadaku dan kedua-dua ibu bapaku, dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang ENGKAU redai. Berilah kebaikan kepadaku dengan (memberikan kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada ENGKAU dan aku termasuk orang-orang Muslim'."

Menurut Ibnu Kathir, ayat ini memberi petunjuk bahawa pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya.

Ini kerana menurut Syeikh Wahbah Az-Zuhaily apabila seseorang itu mencapai umur 40 tahun, ia merupakan marhalah kesempurnaan bagi akal dan fizikal manusia.

Demikian itu, Ibnu Qayyim menyimpulkan umur manusia kepada empat tempoh:

1 - Kanak-kanak - sejak lahir hingga akhir baligh.

2 - Orang muda - sejak akhir baligh hingga umur 40 tahun.

3 - Orang dewasa - antara 40 hingga 60 tahun.

4 - Orang tua - umur 60 tahun hingga meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, menurut Islam manusia yang berumur 40 tahun telah mula mencapai umur hikmah (bijaksana).

Perkembangan otak manusia

Menurut kajian sains moden, perkembangan otak manusia tidak sempurna sepenuhnya sehingga mencapai umur 40 tahun.

Penemuan sains moden “neuroscience” mendapati bahawa kesempurnaan otak tidak akan terjadi sehingga manusia mencapai usia 40 tahun “brain in only fully ‘matures’ in middle-age”.

Kajian sains moden ini membuktikan bahawa ayat suci al-Quran merupakan mukjizat ALLAH kepada rasul-NYA.

Ini kerana sebelum abad ke-21, tiada manusia yang mengetahui bahawa otak manusia mampu berkembang dan matang sepenuhnya sehingga mencapai umur 40 tahun.

Satu kajian Profesor Sarah Jayne Blakemore, seorang profesor psikologi dari Universiti Cambridge, yang juga merupakan ketua kumpulan penyelidikan bagi perkembangan kognitif Neurosains dilkakukan berkaitan dengan hal ini.

Beliau dan pasukan kajiannya mendapati otak manusia akan mula matang dalam berfikir bermula seawal umur 21 tahun, namun tahap kesempurnaan berfikir hanya akan berlaku pada umur 40 tahun.

Secara empirikal hasil kajian beliau mendapati bahagian otak berkembang pesat khususnya di bahagian ubun-ubun atau nama saintifiknya “prefrontal cortex" (PFC).

PFC merupakan kawasan berfikir bagi otak manusia “the thingking brain” yang berfungsi untuk membuat keputusan, berinteraksi secara sosial, fungsi-fungsi peribadi, membuat perancangan, tingkah-laku, serta memahami perbezaan-perbezaan dengan orang lain.

Rumusan kajian beliau mendapati, PFC hanya akan cukup matang ketika manusia mencapai umur 40 tahun.

Hubung kait umur 40-an dengan kejayaan seorang usahawan

Adakah ia terlalu lewat untuk mulakan perniagaan pada umur 40-an? Sudah tentu jawapannya tidak.

Kita sering mendengar kisah-kisah usahawan muda yang berjaya dalam perniagaan ketika berumur 20 hingga 30 tahun, realitinya umur yang paling ideal untuk usahawan berjaya dalam perniagaan adalah ketika mencapai umur 40-an.

BUKTI empirikal menunjukkan waktu kejayaan seseorang usahawan adalah apabila mereka mencapai umur 40 tahun. Gambar hiasan/Foto Canva
BUKTI empirikal menunjukkan waktu kejayaan seseorang usahawan adalah apabila mereka mencapai umur 40 tahun. Gambar hiasan/Foto Canva

Hasil kajian mendapati terdapat hubungan positif berkait rapat dengan faktor umur purata usahawan berjaya iaitu ketika usia 40 tahun ke atas.

Menurut Pierre Azoulay, Benjamin F. Jones, J. Daniel Kim dan Javier Miranda (2018) yang merupakan pengkaji di Massachusetts Institute of Technology (MIT) Sloan School of Management dan Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan Amerika Syarikat, yang telah menganalisis umur semua pengasas perniagaan di Amerika Syarikat mendapati bahawa umur purata usahawan pada masa mereka mengasaskan sesebuah syarikat mereka ialah ketika usahawan berumur 42 tahun.

Secara lebih khusus, hasil kajian terhadap 2.5 juta usahawan perniagaan di Amerika Syarikat sejak 1970-an mendapati usia seseorang itu berjaya adalah pada usia 40 tahun dan ke atas.

Kajian Biro Banci Amerika Syarikat 2018 pula mendapati bahawa 42 tahun adalah umur yang ideal untuk pengasas mengasas sebuah syarikat baru yang berjaya, dan mereka yang lebih tua atau lebih muda daripada umur ini cenderung kurang berjaya.

Justeru, mengambil contoh usahawan terkemuka dunia seperti Bill Gates, Steve Jobs dan Jeff Bezos, kadar pertumbuhan perniagaan mereka dari segi permodalan pasaran memuncak apabila pengasas ini berumur pertengahan.

Sebagai contoh Jeff Bezos dan Amazon telah bergerak jauh melangkaui penjualan buku dalam talian, dan kadar pertumbuhan pasaran Amazon mencapai tahap tertinggi apabila Bezos berumur 45 tahun.

KAJIAN Biro Banci Amerika Syarikat 2018 mendapati bahawa 42 tahun adalah umur yang ideal untuk pengasas mengasas sebuah syarikat baru yang berjaya. Foto Canva
KAJIAN Biro Banci Amerika Syarikat 2018 mendapati bahawa 42 tahun adalah umur yang ideal untuk pengasas mengasas sebuah syarikat baru yang berjaya. Foto Canva

Mengambil contoh usahawan Muslim di Malaysia, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim menyedari peluang perniagaan yang mendapat permintaan tinggi dalam industri helikopter pada usia 43 tahun.

Rumusannya, bukti empirikal menunjukkan waktu kejayaan seseorang usahawan adalah apabila mereka mencapai umur 40 tahun.

Oleh yang demikian, tidak ada istilah masa yang dikatakan telah terlewat untuk memulakan perniagaan.

***DR ROSSIDI USOP

Pensyarah Kanan Universiri Sains Islam Malaysia