IBADAH merupakan tujuan hidup manusia. Inilah ketetapan Ilahi sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah az-Zariyat ayat 56, “Tidak Aku jadikan jin dan juga manusia melainkan untuk beribadah kepadaku.”

Berhubung ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata dalam Tafsir al-Quran al-Azim, “(Maksud ayat ini ialah) ‘Sesungguhnya Aku mencipta mereka agar mereka beribadah kepadaku, bukan kerana Aku memerlukan mereka’.”

Kewajipan ibadah puasa adalah berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, “Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelummu semoga kamu bertakwa”.

Puasa di bulan Ramadan mula di fardukan pada tahun ke-dua selepas hijrah Nabi. Puasa itu bermaksud menahan, sementara dalam istilah syarak pula ia bermaksud, ‘menahan nafsu dari segala yang membatalkan puasa pada siang hari bermula daripada terbit fajar sadik sehingga terbenam matahari’.

Puasa itu mempunyai tingkatan-tingkatannya sepertimana yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin, ‘Puasa mempunyai tiga tingkat. Tingkat yang terendah, iaitu puasa umum, ialah puasa yang hanya menekankan tentang kepentingan menjauhi perbuatan-perbuatan zahir yang boleh membatalkan puasa, seperti makan dan minum. Tingkat yang kedua dikenali sebagai puasa khusus.

Mereka yang berada pada makam ini, tidak hanya meninggalkan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, tetapi juga turut menjauhkan diri daripada perkataan, pendengaran, penglihatan serta tindak-tanduk yang boleh mencacat pahala puasa.

Tingkat yang tertinggi ialah puasa golongan khusus dari yang khusus. Puasa ini juga dikenali sebagai puasa hati kerana mereka yang berada di makam ini, akan banyak berzikir kepada ALLAH serta sentiasa mengawal hati mereka daripada diceroboh oleh cita-cita dan kehendak duniawi yang memperdayakan.

Ibadah dan Sains

Ibadah khusus seperti puasa dilakukan berdasarkan dalil al-Quran dan Sunnah. Umat Islam melaksanakan ibadah ini sebagai tanggungjawab pengabdian mereka kepada ALLAH. Bukan disebabkan suatu rahsia atau hikmah yang ditemui sains atau yang seumpamanya.

Demikian juga dengan hukum hakam yang qath’i (pasti). Hukum hakam yang qath’i bermaksud hukum hakam yang pasti berdasarkan dalil-dalil kukuh yang disepakati semua ulama. Ia merupakan hukum yang tidak boleh dipertikai oleh sesiapa pun.

Antara hukum dalam kategori ini ialah tentang haramnya arak dan daging khinzir. Hukum tentang pengharamannya ditentukan oleh al-Quran dan Sunnah dan bukannya daripada kajian sains. Sepertimana sabda Nabi, riwayat Bukhari dan Muslim, ‘Apabila aku mencegah kamu daripada melakukan sesuatu maka jauhilah ia, dan apabila aku mengarahkan agar kamu melakukan sesuatu maka datangkanlah ia sedaya upayamu.

Jika sains menemui sesuatu yang kononnya baik tentang arak, ia tidak boleh digunakan untuk menghalalkan arak. Demikian juga, jika sains menemui cara untuk membunuh cacing serta kuman tertentu yang terdapat dalam badan khinzir, hukum tentang haramnya khinzir tetap tidak berubah. Sains ada keterbatasannya sebaliknya ilmu Allah mengatasi segala-galanya.

Namun tidak dinafikan bahawa setiap ibadah pasti ada kebaikan, rahsia dan hikmatnya. Kadangkala manusia diizinkan Allah memahami sedikit sebanyak daripada kebaikannya melalui kajian sains.

Kefahaman saintifik ini sekadar menyedarkan kita bahawa ketetapan Allah dan Rasul pasti ada kebaikannya. Penemuan sains ditonjolkan sebagai motivasi untuk menunjukkan bahawa setiap suruhan agama pasti ada kebaikannya, dan setiap larangan pasti ada keburukannya.  Hal ini adalah selari dengan firman Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 157.

Ramadan dan Penemuan Sains

Berpuasa di bulan Ramadan amat menyihatkan. Pada tahun 1994, kongres antarabangsa pertama bertemakan 'Kesihatan dan Ramadan' diadakan di Casablanca (First International Congress on Health and Ramadan. January 19-22, 1994, Casablanca, Morocco). Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kertas kajian ketika itu.

Ke semua kajian itu mengesahkan puasa pada musim Ramadan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan malah sebaliknya ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. Secara dasarnya puasa adalah salah satu proses detoksifikasi yang baik.

Detoksifikasi bermaksud mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin. Laporan pakar anestesia dari Oxford, Dr Razeen Mahroof menunjukkan, walaupun Ramadan memberi penekanan terhadap aspek kerohanian, namun kesan positif terhadap fizikal tetap ada.

Pembakaran lemak untuk menghasilkan tenaga membantu ke arah penurunan berat badan. Penurunan berat badan mengawal penyakit kencing manis serta darah tingi. Beberapa hari selepas melalui ibadah puasa, paras hormon tertentu, iaitu endorphins, meningkat di dalam darah menjadikan seseorang lebih fokus serta damai. Kenyataan ini dilaporkan di http://arabnews.com/lifestyle/food_health/article99782.ece.

Kajian juga menunjukkan proses metabolisme melibatkan karbohidrat (carbohydrate metabolism) menurun ketika berpuasa dan aktiviti pembakaran lemak (fat oxidation) meningkat (El Ati J, Beji C, Danguir J. Increased Fat Oxidation During Ramadan Fasting in Healthy Women: An Adaptative Mechanism For Body Weight Maintenance. Am J Clin Nutr 1995;62:302-7). Proses yang berlaku ini pasti mendatangkan kebaikan ke atas kesihatan seseorang.

INFO

Hukum memasukkan alat ke dalam rongga terbuka untuk pemeriksaan kesihatan. 

Syeikh `Atiyyah Saqr, mantan pengerusi Jawatankuasa Fatwa al-Azhar mengatakan puasa pesakit tidak batal kerana ia bukan sesuatu yang mengenyangkan.

Hukum menggunakan pil elak haid

 Fatawa Muasirat Dr Yusuf Qardawi mengatakan, “Secara peribadi saya lebih suka jika persoalan ini dikembalikan menurut fitrah (tanpa penggunaan ubat). Namun jika terdapat ubat yang boleh digunakan oleh wanita untuk menangguhkan kedatangan haidnya, itu boleh dilakukan, namun dengan satu syarat. Hendaklah mereka yakin yang tablet itu tidak merbahaya”.

Hukum menerima suntikan serta memasukan ubat ke dalam rongga.

Dalam Fiqhus Sunnah oleh Syed Sabiq, menerima suntikan adalah diharuskan pada bulan Ramadan tidak kira sama ada melalui otot (intra-muscular), pembuluh darah (intra-venous), kulit (subcutaneous) dan seumpamanya, disebabkan jalan kemasukan ubat itu tidak melalui jalan biasa, iaitu melalui mulut.

Namun Syeikh Ibn Jibreen memberi amaran, jika suntikan itu mengandungi bahan-bahan makanan yang menyegarkan pesakit (nutritional) dan bukannya ubatan contohnya untuk menahan kesakitan atau untuk kerehatan, maka puasanya dihukum batal (Fatwa Ramadan, jil. 2, hal. 485, Fatwa No. 433).