SHAH ALAM - Walaupun perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun di Kelantan mendapat persetujuan daripada ibu bapanya, namun ia tidak sah kerana tidak mendapat kebenaran hakim syarie.

Peguam Syarie dari Tetuan Atiqah Syafiqah & Associates, Syafiqah Abdul Razak berkata, berdasarkan undang-undang sedia ada, jelas menyatakan Seksyen 8 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002 dan Kaedah-kaedah telah menetapkan hak umur minimum untuk pernikahan iaitu jika lelaki hendaklah berumur kurang daripada 18 belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun, kecuali jika hakim syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Bertentangan dengan prosedur di Malaysia

Jadi menurut Syafiqah, secara asasnya, jika kesemua rukun nikah ini dipatuhi, pernikahan tersebut adalah sah mengikut rukun syarak.

“Untuk perkahwinan di bawah umur, kebenaran dari wali iaitu bapa, adalah diperlukan. Bagi kes di atas, difahamkan kedua-dua ibu bapa telah memberi persetujuan akan pernikahan tersebut.

“Namun, ia bertentangan dengan prosedur di Malaysia kerana tidak mendapat kebenaran hakim syarie. Tindakan tersebut adalah bertentangan seksyen 8 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002 dan Kaedah-kaedah,” katanya kepada Sinar Harian.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak perempuan bawah umur berusia 11 tahun bernikah dengan seorang lelaki berusia 41 tahun.

Lelaki yang mempunyai dua orang isteri itu menjelaskan akan tinggal bersama dengan isteri mudanya itu selepas lima tahun.

Keluarga kanak-kanak itu dengan rela menikahkan anak perempuannya dengan alasan kemiskinan selain terhutang budi dengan lelaki itu.

Kesan positif dan negatif

Mengulas lanjut, Syafiqah berkata, terdapat kesan positif dan negatif apabila melibatkan pernikahan bawah umur.

“Jika melibatkan keluarga miskin yang tidak mampu menyara anak dan anak tersebut bersedia untuk pernikahan, maka ia wajar. Perkahwinan ini juga sebagai satu langkah untuk mengelakkan zina, sekali gus terlibat di dalam gejala sosial,” katanya

Namun daripada aspek psikologi, beliau berkata, ia perlu dikaji sama ada kanak-kanak tersebut bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri.

“Pernikahan bukan sekadar hubungan kelamin, tetapi melibatkan hak dan tanggungjawab suami dan isteri.

“Pernikahan di usia muda tanpa ilmu dan pengalaman akan memperjudikan masa depan kanak-kanak itu,” katanya.