SIAPAKAH yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru menuju ALLAH, mengerjakan amal soleh dan berkata, “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri” (Surah Fussilat : 33).

Berdakwah bukanlah tugas eksklusif individu atau kumpulan tertentu. Tetapi ia adalah tugas setiap Muslim. Itulah teras dan sifat yang mesti ada pada diri setiap Muslim. Saling mengingatkan sesama umat.

Leka dengan kesenangan    

Manusia secara lumrahnya mudah lupa  ketika diuji dengan kesenangan. Sifat ini ALLAH rakamkan di dalam Al-Quran.

Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan,merayulah dia kepada Kami (ALLAH) dalam segala keadaan sama ada sedang berbaring, duduk ataupun berdiri. Dan apabila Kami telah hapuskan kesusahan itu daripadanya, maka dia kembali lupa seperti seolah-olah tidak pernah merayu kepada Kami memohon untuk menghapuskan kesusahan yang menimpanya. Demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan. (Surah Yunus : 12) .

Kerana lumrah manusia yang mudah leka ketika diuji dengan kesenangan,maka ALLAH memerintahkan umat manusia ini perlu sentiasa memberi peringatan kepada sesama insan.

Mudahnya berdakwah

Berdakwah itu ada seninya. Secara mudahnya dakwah itu bermaksud ajakan atau seruan kepada golongan tertentu untuk melakukan sesuatu kebaikan, merujuk kepada firman ALLAH SWT dalam surah an-Nahl ayat 125.

Konsep dakwah yang ALLAH ajarkan kepada baginda Nabi Muhammad SAW adalah menyeru dengan penuh kebijaksanaan dan cara yang terbaik.Sekiranya perlu, berbahaslah dengan bahasa yang baik agar orang yang diseru itu tertarik dan tidak menjauhkan diri. Baginda SAW menggunakan cara dakwah yang pelbagai untuk menarik ramai manusia agar kenal tuhan. Antaranya adalah berdakwah dengan akhlak yang baik. Suri teladan yang ditunjukkan baginda membuatkan hati para sahabat jatuh cinta serta dengan penuh kerelaan menuruti segala tunjuk ajar dan cara hidup Nabi.

Berdakwah bukanlah menjatuhkan hukum. Sesetengah orang memahami dakwah itu dengan cara  menjatuhkan hukum kepada seseorang. Sebagai contoh orang yang belum membayar zakat, maka kita menjatuhkan hukum ke atas mereka.Mereka dihukum sebagai penjahat, penentang agama malah lebih teruk lagi dilabel sebagai ahli neraka. Menjatuhkan hukum bukan tugas pendakwah. Pendakwah tugasnya adalah merawat dan menyelamatkan. Merawat penyakit manusia yang lalai dan menyelamatkan mereka daripada diazab oleh ALLAH di akhirat. Pendakwah menegur dan menasihati perbuatan yang salah dan menyeru melakukan perbuatan yang betul. Tanpa perlu merendah-rendahkan atau menghina orang yang melakukan kesalahan.

Dakwah Tunaikan Zakat

Antara tugas penting kita adalah menyeru masyarakat untuk menunaikan zakat.Khususnya mereka yang memiliki sejumlah harta dan cukup syarat-syarat wajib zakat seperti cukup nisab.Salurkan maklumat yang tepat kepada mereka seperti kaedah pengiraan zakat, kadar zakat, dan ke mana zakat sepatutnya disalurkan.

Masyarakat hari ini pula lebih tertumpu kepada penggunaan media sosial. Justeru antara kaedah dakwah yang boleh digunakan adalah dengan berkongsi pautan laman web pusat-pusat zakat. Juga bantu mempromosikan khidmat yang ditawarkan oleh Pusat Zakat Negeri-Negeri. Ingat konsep yang dianjurkan Rasulullah SAW, “ Orang yang menunjukkan kepada sesuatu kebaikan sama seperti melakukannya.” (Riwayat At-Tirmizi).

Kita perlu mengingatkan masyarakat agar tidak leka dengan kesenangan hidup sehingga mengabaikan tanggungjawab berzakat.Ini kerana besar kesan dan implikasinya kepada individu sama ada di dunia juga akhirat. Mereka yang mendirikan solat,berpuasa serta mengerjakan haji, amalan mereka ini tidak diterima sehinggalah mereka mengeluarkan zakat. Kerana zakat adalah rukun Islam, begitu juga sebaliknya. Zakat tidak diterima jika mencuaikan rukun-rukun lainnya.   

Hilangnya keberkatan apabila ramai yang mengabaikan zakat.Kerana zakat itu ertinya berkat. Apabila hilang keberkatan di dalam harta,maka timbullah bermacam-macam masalah. Penyakit-penyakit yang ada pada harta menghinggapi pemiliknya.Sifat-sifat buruk seperti hasad dengki, tamak, iri hati, sombong menguasai diri.Masyarakat akan menjadi pentingkan diri sendiri dan mengabaikan orang sekeliling. Yang kaya terus kaya,yang miskin diabaikan. Maka akan berlaku ketidakseimbangan dalam sosioekonomi masyarakat. Dikhuatiri peningkatan masalah sosial dan jenayah.

Memahami betapa besar kesannya,maka semua masyarakat perlu berperanan. Bukan sekadar sebagai pembayar zakat, malah menjadi suara-suara yang mengingatkan yang lain agar bersama-sama menunaikannya. Ceritakan kepada mereka yang belum menunaikan zakat, pengalaman dan perasaan setelah menunaikan zakat. Betapa kelebihan yang dijanjikan ALLAH SWT dan RasulNya buat pembayar zakat adalah sememangnya benar.Zakat membuka luas pintu rezeki, memberikan ketenangan dalam diri, serta membersihkan jiwa dan harta kita. Bahkan, zakat juga membawa keberkatan dalam kehidupan manusia.