SUASANA selepas solat Jumaat pada 1 Jun 2018 bersamaan 16 Ramadan yang lalu, sangat syahdu dan menyentuh hati saya. Kemungkinan juga perasaan yang sama turut dirasai oleh para jamaah lain di Masjid Mie, Tsu, Jepun ini. Selesai solat, Pengerusi masjid, Mr Abid bangun dan mengumumkan kepada jamaah bahawa selepas ini akan ada seorang pemuda yang akan melafazkan syahadah.

Pengumuman ini disambut dengan ucapan tahmid dan takbir oleh beberapa orang. Perasaan saya turut berdebar. Tidak sabar menunggu detik tersebut. Detik yang indah. Detik yang memisahkan antara iman dan kufur. Detik yang membezakan antara tauhid dan syirik.

Selesai solat sunat ba’diah Jumaat, semua hadirin setia menunggu. Saya masih tercari-cari siapakah pemuda yang dimaksudkan. Kemudian, Pengerusi masjid bangun dan memberikan sedikit ucapan pengenalan.

Katanya, beliau baru sahaja beberapa hari lepas pergi bertemu dengan pemuda tersebut. Pertemuan tersebut diaturkan oleh seorang kawannya. Ketika bertemu, Mr Abid bersembang dan bertanya beberapa soalan kepada pemuda tersebut.

Tersentak

“Apa yang mendorong awak untuk menjadi Muslim?”. Soalannya ringkas. Namun jawapan pemuda tersebut menyentak perasaan Mr Abid. Apabila diceritakan, perasaan saya juga turut dijentik dengan jawapannya.

Lebih kurang 17 tahun sudah bekerja di Jepun. Namun, katanya, semenjak akhir-akhir ini di mana sahaja dia berada, di rumah, di tempat kerja, di luar dan di setiap tempat, jiwanya merasakan di sana ada satu kuasa yang sedang memerhati. Selagi tidak mencari jawapannya, dia di dalam keresahan. Akhirnya apabila perasaan itu sering datang dalam hidupnya seharian, timbul satu keyakinan yang kuasa itulah Tuhan yang menciptanya. Tuhan yang saya perlu takuti. Tiada yang lain. Bukan kepada manusia. Hanya kepadaNya saya perlu tunduk dan patuh.

Hanya keranaNya kita hidup. Hanya keranaNya kita bekerja. Hanya keranaNya kita lakukan semua perkara.

…dan saya yakin kuasa itu adalah ALLAH.

“ALLAHUAKBAR!!!!” , di sambut oleh beberapa jemaah.

“Adakah awak dipaksa oleh sesiapa? Kerana Islam ini bukan boleh dimudah-mudahkan. Masuk dan keluar begitu sahaja”, Mr Abid bertanya lagi inginkan kepastian.

“Tidak! Saya sendiri yang memilih Islam. Inilah keyakinan saya dan saya akan terus hidup dengannya sampai akhir hayat”.

“Bagaimana dengan ibu bapa dan keluarga lain di Brazil?”, Mr Abid terus bertanya.

“Mereka tiada halangan. Saya bekerja di sini dan saya sering kirimkan wang belanja kepada ibu saya di sana. Saya tidak pernah tanya apa yang ibu saya belanjakan dengan wang itu. Saya yakin, apabila tangan kanan saya memberi, saya tidak akan mengungkitnya lagi. Saya akan teruskan apa yang saya sudah lakukan ini”.

“Apa lagi yang membuatkan awak tertarik dengan Islam?”

“Saya suka sebab Islam ini agama yang galakkan kepada kebersihan”.

Imej Islam

Jawapannya yang ini walaupun ringkas, tetapi Mr Abid telah memberikan peringatan yang sangat berbekas kepada hadirin.

“Buktikan apa yang dikatakan oleh lelaki ini. Jaga kebersihan. Jangan pula kelakuan kita mencemarkan imej Islam”.

Kata-kata dan peringatan Mr Abid ini membuatkan saya berfikir sejenak. Ya, kehidupan komuniti Islam di Jepun ini mungkin lebih senang untuk membuktikan apa yang dikatakan oleh pemuda tersebut.

Bumi Jepun yang terkenal dengan kebersihan. Masyarakatnya pula terdidik dengan peraturan. Peraturan mengasingkan sampah dapat dilaksanakan dengan lancar. Jadual pembuangan sampah diikuti. Lori sampah dan tempat pelupusan sampah pun bersih. Lorong-lorong di kawasan perumahan bersih. Rata-ratanya orang yang datang melawat Jepun, pasti menyedari tentang keadaan ini.

Oleh itu, masyarakat muslim yang berasal dari negara lain, berpindah dan bermastautin di sini, sedikit sebanyak pasti akan terkesan dan terdidik dengan sikap menjaga kebersihan ini.

TETAPI…

Bagaimana pula dengan sebahagian negara-negara Islam yang lain?

 Adakah hujah untuk berdakwah agar orang lain menerima Islam sebab Islam agama yang pentingkan kebersihan dapat diterima dengan merujuk kepada sebahagian negara Islam?

Apa yang didakwah dengan realiti yang dilihat di sana ternyata berbeza. Sikap membuang sampah merata-rata. Tidak memberi fokus kepada pencemaran alam. Tiada peraturan mengasingkan sampah. Membuang sampah dari dalam kereta keluar ke atas jalan, tanpa ada perasaan bersalah. Putung rokok dibuang bersepah-sepah dan pelbagai lagi sikap dan suasana yang berlawanan dengan prinsip kebersihan.

Dalam keasyikan saya melayan minda sendiri, tiba-tiba fokus saya kembali kepada Mr Abid yang sedang berucap apabila beliau menjemput dan memperkenal pemuda tersebut.

Oh ya…persoalan saya tadi, saya pun masih tidak pasti bagaimana untuk menjawabnya. Apa yang saya percaya, perubahan kepada sebuah masyarakat bermula dengan pendidikan sejak kecil lagi. Ia proses yang panjang dan berterusan. Dan pastinya juga, untuk mengubah masyarakat, ia bermula dengan mendidik diri dan keluarga sendiri dengan disiplin dan peraturan menjaga kebersihan. Sama-sama kita lakukan.

Selepas dijemput, pemuda itu pun bangun. Rupa-rupanya dia duduk di saf depan saya sahaja. Lelaki bertubuh sasa. Berbaju t-shirt. Memakai rantai dan ada tatu di lengannya.

Kemudian, dia memperkenalkan diri dan bersedia untuk melafazkan syahadah.

Imam masjid dijemput untuk membimbing beliau. Ustaz Abdul Kadir, perlahan-lahan melafazkan syahadah, lalu diikuti oleh pemuda tersebut.

Jiwa saya semakin bergetar menyaksikan detik ini. Lafaz syahadah diungkapkan dengan tenang oleh beliau. Bergenang air matanya. Saya tidak pasti bagaimana perasaan beliau ketika melafazkannya.

Alhamdulilah! Allahuakbar!

Laungan takbir bergema di dalam masjid. Lantas para jamaah yang ada bangun bersalam dan berpeluk sambil memberikan kata-kata dan pesanan. Ramai juga yang menitiskan air mata menyaksikan detik ini.

Dua kalimah jaminan syurga. Dua kalimah penyelamat dari neraka. Dua kalimah yang menafikan segala makhluk lain sebagai tuhan, hanya Allah yang berhak disembah. Dan Muhamad itu hamba dan utusanNya.

Begitulah urusan Allah. Tiada yang mustahil.

Hidayah ini milikNYA. Akan dikurnia kepada sesiapa sahaja yang mencari.  Siapa sangka. Di negara yang memiliki khazanah peninggalan kuil-kuil dan tokong yang bersejarah, berusia ratusan tahun, binaan yang cantik, unik dan hebat, cahaya Islam tetap mampu bersinar di celah-celahnya, menyuluh denai-denai kebenaran.

Siapa sangka. Dalam keadaan negara yang ada peluang yang banyak untuk terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat, seruan Islam menerjah masuk ke dalam jiwa, bertapak kukuh, diyakini dan tidak tergugah.

Hidayah ini sangat mahal. Peliharalah ia. Suburkan ia.

Teruskan mengajak. Teruskan berdakwah dengan pelbagai cara yang kita mampu. Kita berusaha dan berdoa.

Hidayah ini urusan Allah.

Siapa, bila, di mana dan bagaimana ia akan dikurnia? Usah kita bertanya. Allah lebih tahu untuk mengatur urusan ini.

Jadi, adakah kita hanya perlu menunggu dan duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa?

Tidak!

Kita aturkan urusan dan tugasan kita. Dakwah adalah tanggungjawab kita. Tonjolkan keindahan Islam. Ajak dan sebarkannya dengan cara yang kita selesa.

Umar al-Khattab yang tegas dan garang pun duduk tersungkur apabila hidayah menyapa dirinya. Khalid al-Walid yang pernah menghunus pedangnya memerangi Rasulullah pun melutut taat apabila kalimah syahadah terpahat di jiwanya, lantas menjadi mujahid membawa panji membela Islam.

Demikianlah, pelbagai kisah dari generasi sahabat hingga sekarang yang sering kita baca dan dengar. Hidayah mengubah perilaku seseorang. Sangat ajaib urusan Allah.

Maka, tidaklah pelik dan mustahil apabila hari ini, seorang pemuda Brazil “bertemu Allah” di bumi Jepun.

Dari Santos menjadi Abdul Rahman. Selamat datang ke dalam keluarga besar Islam!