HAMPIR semua orang yang mempunyai lebihan wang untuk melabur pastinya menyukai pelaburan yang rendah risiko dan tinggi pula pulangan, namun itu di luar norma kebiasaan dan sifat sesebuah pelaburan menurut perspektif Islam.

Islam amat mementingkan keadilan di antara pelabur dan pengusaha. Walaupun jaminan keuntungan bagi pelabur itu dianggap sebagai suatu yang sangat disukai, ia sebenarnya mengakibatkan ketidakadilan kepada pengusaha atau usahawan, lantaran terpaksa membayar sesuatu kepada pelabur di ketika mengalami kerugian. Ketidakadilan pula kepada pelabur lantaran akan hanya mendapat peratusan terhad yang dijanji sewaktu keuntungan sebenar melepasi peratusan yang dijanjikan.

Perlu difahami, rasa tidak adil dan rasa ditindas BUKAN penentu ('illah) halal haram dalam bab riba, justeru jika sekiranya pihak penguasaha secara SUKARELA menawarkan jaminan keuntungan sekalipun, ia tetap haram kerana wujudnya illah pengharaman iaitu, 'hutang wang dengan pulangan lebih yang dijanjikan', tidak kira sama ada kedua-dua pihak suka sama suka atau tidak.

Menyentuh bab jaminan modal dan keuntungan ini, pelbagai resolusi persidangan cendiakawan Fiqh telah dikeluarkan, antara yang paling berpengaruh adalah seperti berikut:-

1.       Badan Perakauanan dan Kewangan Islam Antarabangsa (AAOIFI)

Majlis Shari’ah AAOIFI memutuskan seperti berikut:

“Tanggungan para rakan kongsi terhadap modal perkongsian adalah tanggungan jenis amanah, maka tiada jaminan boleh diberikan kepada rakan kongsi kecuali apabila wujud pencerobohan atau kecuaian. Tidak juga harus disyaratkan jaminan (walau) diberikan oleh mana-mana rakan kongsi kepada modal rakan kongsi yang lain.”  (Al-Ma’ayir al-Shar’iyyah, AAOIFI, halaman 164)

Selain itu, dalam resolusi berkaitan Ad-Damanat, AAOIFI memutuskan sebagai berikut:

“Tidak harus disyaratkan kafalah atau rahn dalam kontrak-kontrak amanah, disebabkan bercanggah keduanya dengan kandungan kontrak amanah, kecuali jika syarat itu hanya terhad kepada ketika wujdunya kecuaian dan pencerobohan atau percanggahan, khususnya dalam kontrak musharakah dan mudarabah, dan tidak harus juga dipromosi seolah produk pelaburan ini adalah sebuah pelaburan yang dijamin”

2.         Majallah al-Ahkām Al-’Adliyyah

Dicatat di dalam klausa nombor 768:

 “(Kontrak) amanah tidak boleh dijamin, justeru apabila musnah atau hilang bukan disebabkan perbuatan yang pemegang amanah dan buka asbab kecuaian darinya, tidak boleh dimestikan baginya jaminan (gantian)” (Syarh Al-Majallah, Salim Rustam Baz, halaman 426).

 Kontrak pelaburan Islam dikategorikan sebagai kontrak amanah yang mana kedua-dua pihak dalam kontrak amanah seperti musharakah adalah rakan kongsi yang perlu saling bantu membantu atas dasar keduanya pemegang amanah (amin) terhadap wang modal masing-masing. Mereka bersepakat menggunakan modal tadi bagi menghasilkan keuntungan yang boleh dinikmati bersama, bukannya satu pihak terpaksa menjamin keuntungan atau keselamatan modal rakan kongsi yang lain. Jika itu dilakukan, ia mencarikkan asas utama kontrak amanah. Tiada alasan munasabah dan boleh diterima hukum Islam boleh menjustifikasikan tindakan terbabit, kecuali apabila terdapatnya pecah amanah dan kecuaian yang jelas. (Al-Ma’ayir al-Shar’iyyah, AAOIFI, halaman 67).

Seterusnya apabila pemberian duit atas nama pelaburan, kemudian dijanjikan pulangan tertentu dan jaminan modal maka ia akan berubah sifatnya menjadi riba, tetapi nafsu manusia yang sukakan keuntungan pastinya akan merasa tidak selesa dengan hukum ini.

Inilah punca utama pelaburan dengan jaminan keuntungan menjadi batal, berikut Majlis Penasihat Shariah AAOIFI berikut teks fatwanya :  "Apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang tetap dan pasti, maka rosaklah aqad pelaburan Mudarabah itu" ( Al-Ma'ayir As-Syaiyyah, AAOIFI, halaman 240).

Ingin tegaskan sekali lagi bahawa keputusan Majlis Fatwa kebangsaan yang mengharamkan Pelaburan Melalui Internet adalah kerana beberapa ciri tertentu, paling utama adalah kerana jaminan dan promosi keuntungan tetap dan jaminan modal dalam sebuah pelaburan.  Sebenarnya ciri ini juga telah diputuskan haram secara sepakat Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia pada tahun 1992 yang mewartakan :

"Sebarang pelaburan yang mana pihak pengusaha (mudarib atau syarikat) menjamin satu kadar pulangan tertentu kepada pelabur (peserta), maka ia adalah haram oleh kerana ia telah menukar sifat pelaburan secara Islam kepada elemen pinjaman dengan janji faedah Riba" ( Majma Fiqh Al-Islami, Qarar wa Tawsiat).

 Malah wujud ijma (persepakatan ulama ) dalam hal ini juga, ia tercatat di dalam Keputusan Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia apabila disebutkan: "Telah ijma seluruh imam-imam (mujtahid) di mana termasuk dalam syarat sah sesebuah pelaburan "mudarabah" itu adalah mestilah pembahagian keuntungan dibuat secara nisbah untuk si pelabur dan pengusaha tanpa menentukan jumlah tertentu bagi sesiapa antara mereka "

 Hasilnya, jika ditentukan pulangan tetap sebanyak 2.5 % dari modal akan diberi kepada pelabur sebagai untung atau 250 % dari modal sebagai untung atau RM 150 setiap bulan, maka kaedah perjanjian tersebut adalah sama bercanggah dengan nas fatwa di atas, kerana ia sudah ditetapkan, berbanding cara yang sah di sisi Islam iaitu meletakkan peratusan 30 % dari keuntungan sebenar setelah kiraan penuh hasil dan ditolak kos urusan dan jualan serta lain-lain, maka jika ada lebihan barulah akan diagihkan menurut kadar nisbah pembahagian 30 % yang disebut tadi, jumlah nilai untung sebenar hanya akan diketahui apabila perusaha itu sampai tempoh matangnya. Sekiranya tiada sebarang lebihan sebagai keuntungan, maka tiadalah guna lagi 30 % itu untuk tempoh pusingan pertama pelaburan itu.

Beberapa dalil

Selain dalil hadis yang telah disebutkan banyak kali sebelum ini dan juga dalil Al-Quran yang melarang sesama manusia memakan harta yang lain secara bathil. Antara dalil tambahan yang menunjukkan jaminan sebegitu tidak dibenarkan adalah dari kata Sayyidina Ali :

“Tiada jaminan ke atas sesiapa yang dikongsi keuntungan dengannya.” (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/32).

Jika terdapatnya jaminan keuntungan atau jaminan modal, ia juga akan mencanggahi prinsip asal pelaburan Islam yang meletakkan konsep : Keuntungan adalah melalui penanggungan risiko. (Al-Qawa’ id Al-Fiqhiyyah, Al-Nadwi Ahmad.A, Dar Al-Qalam, Syria, 2000), p. 411; Durar al-Ahkam Sharh Majallah Al-Ahkam, nombor 87, 9/90).

Dalam keterangan kaedah ini disebutkan: Sesiapa yang berkehendak mendapatkan manfaat dari sesuatu, mestilah baginya menanggung kemudaratannya. (Durar al-Ahkam Sharh Majallah Al-Ahkam, nombor 85, 9/90).

Bermakna, pihak yang boleh menerima keuntungan adalah pihak yang sama-sama bersusah payah menanggung risiko kerugian, sejurus mereka cuba menghilangkan risiko terbabit, bahagian keuntungan tidak lagi wajar diserahkan kepada mereka yang terjamin.

Hasilnya, dalam kontrak pelaburan Islam, kesemua pihak pelabur dan rakan kongsi  akan sama-sama menanggung kebolehrugian, atas dasar tersebut ke semua mereka berhak menerima keuntungan. Manakala keuntungan (jika ada) boleh dikongsikan sama ada berdasarkan peratusan modal yang disuntik atau apa-apa nisbah yang disepakati.

Demikian menurut athar dari sayyidina ‘Ali kw : Pembahagian keuntungan adalah diatas apa yang dipersetujui manakala kerugian mestilah di atas nilai modal masing-masing. (Musannad Ibn Abi Shaybah, matba’ah al-Rushd, Riyadh, jil 4, halaman 268).