FIRMAN ALLAH SWT dalam al-Quran yang bermaksud “Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah dari segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.”

Ayat al-Quran melalui Surah al-Mulk ayat 15 ini menunjukkan sandaran ALLAH SWT yang menyeru agar umat Islam menjadikan bumi sebagai satu destinasi yang perlu dijelajahi dengan penuh rasa keimanan dan ketakwaan. Sebagai panduan awal, mari kita memerhatikan mengapa seruan musafir ini menjadi kepentingan dalam perjalanan hidup. Di antara nikmat yang harus disyukuri sewaktu bermusafir ialah Nikmat Masa.

1.Nikmat Masa

Rasulullah SAW bersabda: “Terdapat dua nikmat (ALLAH) yang kebanyakan manusia sering lupakan, (iaitu) nikmat sihat dan nikmat kelapangan masa.” (Riwayat Bukhari)

Manusia dikurniakan ALLAH  dengan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya dan tidak pernah putus. ALLAH memberikan nikmat itu secara percuma dan tidak dituntut kepada hamba-Nya membalas segala pemberian-Nya kerana sememangnya manusia tidak akan berupaya berbuat demikian.

Perihal masa ini adalah amat penting. Berapa ramai di antara kita tiada masa untuk melakukan aktiviti bermusafir ke luar kerana sibuk dengan bebanan dan tanggungjawab tugas seharian. Ada pula yang tidak dapat menyusun jadual kerana mempunyai halangan-halangan yang telah menyebabkan peluang untuk mengembara dan musafir terbantut.

2.Nikmat Rezeki

ALLAH berfirman di dalam Surah Hud ayat 6 yang bermaksud, “Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan ALLAH jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”

Sesungguhnya setiap sesuatu makhluk yang berada di atas muka bumi ini mempunyai rezeki yang telah ditentukan. Orang yang benar-benar memahami hikmah permusafiran semestinya akan memikirkan rezeki dalam bentuk kewangan yang diberikan oleh ALLAH SWT. Setiap rezeki seperti membeli tiket kapal terbang, menempah bilik penginapan dan persiapan ke arah permusafiran itu telah ditentukan. Sebagai contoh, ada kala kita tidak mempunyai wang ketika hendak membuat keputusan bermusafir, tetapi akhirnya beberapa hari sebelum bertolak tentunya pelbagai rezeki yang dikurniakan sebelum bertolak ke satu-satu tempat.

Bagi mereka yang berniat musafir kerana ALLAH SWT tentu rezekinya tidak akan kurang sedikit pun setelah dia meletakkan tujuan dan matlamat asal itu.

3.Nikmat Sihat

Berapa ramai insan yang masih terlantar di hospital, di rumah-rumah dan di kawasan rumah orang-orang tua kerana tiada harapan untuk sembuh. Makam minum terpaksa dibantu oleh orang lain. Ada yang terpaksa buang air menggunakan bekas dan saluran khas. Tetapi, kita sebagai insan yang masih mempunyai kesihatan yang baik, tidak memerlukan bantuan orang lain dalam menunaikan hajat kita yang asas seperti makan, minum dan ke bilik air.

Bayangkan bagaimana kalau situasi kita hari ini sebagaimana mereka yang kurang bernasib baik. Mereka tidak dapat menggunakan nikmat kesihatan yang diberikan oleh ALLAH SWT dengan dapat bermusafir meninggalkan negara melihat kebesaran ALLAH. Selain daripada itu, pastinya nikmat kesihatan kerana kita kekal sihat dan tiada cacat anggota. Kita dapat melihat, mendengar dan berjalan menggunakan kedua-dua belah kaki. Alangkah indahnya nikmat sihat ini.

Oleh demikian, setiap perilaku dan gerak kerja sebelum melakukan pengembaraan, renungkan nikmat besar yang dikurniakan untuk terus bergerak melihat kebesaran ALLAH SWT. Yakinlah bahawa bukan kecil nikmat yang diberikan saat kita berada di atas muka bumi ini.