a) SIAPAKAH yang boleh diletakkan sebagai penama?

Lantikan penama adalah bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh organisasi (KWSP, TH, koperasi, syarikat takaful) tersebut. Ada yang membenarkan individu sahaja, ada yang membenarkan individu ataupun organisasi (peguam atau syarikat amanah). Ada yang membenarkan individu neutral, ada yang membenarkan waris terdekat atau yang mempunyai talian persaudaraan sahaja. Dari segi bilangan penama, ada yang membenarkan satu penama sahaja dan ada yang membenarkan lebih daripada seorang penama.

b) Siapakah yang boleh dilantik sebagai pentadbir?

Jika pemilik harta masih hidup, pemilik harta boleh melantik sesiapa sahaja sebagai pentadbir harta beliau sama ada waris beliau, individu neutral (bukan waris), peguam, Majlis Agama Islam Selangor atau syarikat amanah. Pelantikan ini sebaik-baiknya didokumenkan dalam dokumen wasiat dan disertai saksi-saksi.

Jika pemilik harta telah meninggal dunia dan tiada wasiat, maka pentadbir boleh dilantik atas persetujuan semua waris dan Unit Pembahagian Pusaka Kecil, JKPTG atau Mahkamah Tinggi Sivil, yang akan mengeluarkan surat kuasa mentadbir.

Sebaik-baiknya, pentadbir perlulah memenuhi syarat-syarat yang berikut iaitu baligh, berakal (umur 18 tahun ke atas), merdeka, adil, jujur, mampu melaksanakan amanah dan tidak bermusuh dengan pemilik harta dan waris-waris.

c) Bolehkah meletakkan penama dari kalangan anak-anak di bawah umur 18 tahun ke bawah?

Boleh jika tidak bertentangan dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh organisasi-oraganisasi (KWSP, TH, koperasi, syarikat takaful) tersebut. Walaubagaimanapun, sebenarnya tidak digalakkan untuk meletakkan anak-anak atau individu di bawah umur sebagai penama.

Sekiranya pemilik harta tersebut meninggal dunia dan penama masih lagi di bawah umur, maka perlu menunggu sehingga penama tersebut mencapai umur 18 tahun terlebih dahulu sebelum boleh menuntut harta pusaka tersebut.

Ia memberi maksud, harta pusaka tersebut dibekukan, tidak boleh digunakan dan tidak boleh dibahagikan. Perlu menunggu sehingga penama mencapai umur dahulu sebelum boleh dituntut dan diagihkan kepada waris-waris. Maka, untuk memudahkan pengurusan harta pusaka, lebih baik elakkan meletakkan nama anak-anak atau individu di bawah umur sebagai penama.

d) Adakah penama adalah penerima (benefisiari)?

Mengikut undang-undang sivil, bagi harta pusaka orang bukan Islam, penama yang diletakkan adalah penerima atau benefisiari bagi harta-harta tersebut dengan syarat penama tersebut mempunyai pertalian saudara dengan si mati. Dalam erti kata lain, penama bagi harta pusaka orang bukan Islam berhak menerima harta tersebut dan menggunakannya sepertimana yang dikehendakinya.

Sebaliknya ia berbeza dengan penama bagi harta pusaka orang Islam. Dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam. Dalam mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-96 yang diadakan pada 20 September 1973, Jawatankuasa itu telah memberi pendapat dan dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja bahawa:

“Penama-penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Wang Simpanan Pejabat Pos, Bank, Insurans dan Syarikat Kerjasama adalah sebagai orang-orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati dari sumber-sumber tersebut untuk dibahagikan kepada orang-orang yang berhak menururt pembahagian Faraid”.

Fatwa ini jelas menyatakan bahawa penama adalah seorang pemegang amanah (wasi), melaksanakan wasiat si mati untuk membahagikan harta tersebut kepada mereka yang berhak menurut faraid. Oleh itu, harta tersebut bukanlah menjadi milik mutlak penama.

Manakala Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan dalam satu kertas kerja “Hukum Wang Simpanan KWSP, SOCSO dan seumpamanya bagi ahli yang beragama Islam yang meninggal dunia” telah bermuzakarah dan mengeluarkan fatwa bertarikh 19 September 2000 seperti berikut:

i. Wang KWSP dan yang disimpan adalah pesaka yang mesti dibahagikan menurut faraid.

ii. Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.

iii. Bahagian Undang-undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang yang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Selain itu, fatwa Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang diwartakan pada 18 Januari 2001 memutuskan bahawa:-

Orang Islam yang dinamakan sebagai penama oleh si mati dalam apa-apa skim simpanan wang dalam mana-mana Kumpulan Wang Simpanan, Insurans, Tabung, Lembaga, Syarikat Kerjasama, Koperasi atau institusi kewangan ialah wasi kepada simati dan hendaklah membahagikan harta peninggalan kepada waris yang berhak mengikut pembahagian faraid.

Peranan penama bagi harta pusaka orang Islam adalah untuk memudahkan proses tuntutan dan pencairan harta tersebut, yang mana kemudian perlu dibahagikan kepada waris-waris mengikut hukum faraid. Di sinilah sering berlaku kekeliruan di kalangan orang Islam, apabila ramai menyangka penama adalah penerima mutlak bagi harta pusaka yang dinamakan.

Sebab itulah berlakunya insiden menyorok harta, menyembunyikan fakta dan memberikan pelbagai alasan bagi mengelakkan pembahagian harta kepada waris-waris lain dilaksanakan.

Ketahuilah, sesungguhnya ini adalah sikap yang teruk dan zalim; menzalimi waris-waris lain yang sepatutnya mendapat hak ke atas harta tersebut.