SYARIAT Islam tidak hanya memandang kemaslahatan manusia di dunia semata-semata tanpa mengambil kira balasan atau ganjaran di akhirat. Kemaslahatan ini tidak hanya dinikmati di dunia sahaja, malahan juga meliputi kemaslahatan di akhirat. Antara kemaslahatan manusia di dunia adalah untuk hidup terjamin dengan nikmat agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Manakala kemaslahatan manusia di akhirat adalah untuk menikmati kejayaan, keredaan, kenikmatan syurga dan keselamatan dari azab neraka.

Justeru, semua hukum yang disyariatkan dalam syariat Islam mengandungi maqasid dan kebaikan manusia sama ada mereka sedari ataupun tidak, sama ada mereka mengetahuinya ataupun tidak sepertimana pensyariatan hukum zakat mempunyai maqasid dan kemaslahatan kepada pemberi dan penerima zakat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak berkurangan harta disebabkan bersedekah.” (Hadis Riwayat Muslim)

ALLAH SWT akan menjauhkan harta tersebut daripada sesuatu yang memudaratkannya dan memeliharanya daripada gangguan manusia. Selain itu, ALLAH SWT juga menunjukkan cara-cara untuk memanfaatkan dan mengembangkan harta tersebut kepada pemiliknya. Malah, ALLAH SWT turut memberikan ganjaran pahala yang besar kerana mengeluarkan harta semata-mata untuk keredaannya.

Zakat merupakan asas kepada struktur sistem ekonomi Islam dan juga mempunyai komitmen yang berterusan terhadap pembangunan sosioekonomi secara global. Setiap individu Muslim atau individu yang memiliki syarikat yang menghayati tuntutan rukun Islam wajib melibatkan diri demi kesejahteraan masyarakat.

Tanda Syukur

Ibadah zakat berada di carta kedua selepas kefarduan solat kerana menunaikan zakat kepada mereka yang berhak merupakan salah satu perintah ALLAH SWT yang perlu ditunaikan bagi mereka yang berkemampuan. Amalan zakat ini menunjukkan tanda kesyukuran dan pengiktirafan hamba di atas segala pemberian-Nya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud,  “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka.” ( Surah Al-Taubah: 103)

Syeikh Ahmad Mustafa Al-Maraghi menyebut di dalam tafsirnya walaupun ayat ini turun dengan sebab yang khusus namun nas tentang pengambilan harta sebagaimana yang terdapat di dalam ayat ini bersifat umum ia termasuklah para khalifah Rasulullah setelah kewafatan baginda dan para pemimpin Islam setelah wafatnya kaum khalifah. Ia juga mencakupi secara umum tentang orang yang diambil hartanya iaitu orang-orang yang memiliki kekayaan

Ketika ALLAH SWT membicarakan tentang sifat-sifat orang yang bertakwa, ALLAH SWT menyatakan bahawa salah satu dari sifat tersebut ialah orang yang menginfakkan harta di jalan-Nya. Menginfakkan harta di jalan ALLAH SWT merupakan pendekatan Al-Quran bagi memanfaatkan harta dan mendidik hati orang-orang mukmin supaya membina kehidupan atas perasaan tanggungjawab kepada orang lain.

Firman ALLAH SWT: “Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).” (Surah Az-Zariyat, ayat 19)

Manfaatkan harta

ALLAH SWT mengingatkan bahawa apa yang diinfakkan itu bukan milik peribadi kita sebenarnya tetapi harta itu adalah rezeki yang dikurniakan oleh ALLAH SWT untuk sebahagian daripadanya dibahagikan kepada orang lain. Prof.  Dr. Yusuf  Al-Qaradawi di dalam bukunya yang berjudul Peranan Nilai dan Akhlak dalam Ekonomi Islam menyebut salah satu nilai rabbani paling utama dalam Islam ialah penetapan bahawa manusia bukannya pemilik harta yang hakiki tetapi hanya diberi kuasa untuk memanfaatkan harta ALLAH.

Mereka yang menginfakkan hartanya ini disifatkan oleh ALLAH SWT sebagai orang-orang yang mengharapkan perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Mereka menyedari bahawa rahsia keuntungan sebenar ialah apabila mereka dapat melakukan pengorbanan dengan membuang sifat kikir dan kedekut yang membelit jiwa serta perasaan lalu membelanjakan harta mereka sama ada secara sulit atau terang-terangan.

Sudah tentu orang yang bersedekah secara sulit akan membebaskan diri mereka dari perasaan riyak serta meninggi diri dan dalam masa yang sama dapat menjaga air muka penerima.  Manakala sumbangan yang diberikan secara terang-terangan adalah sebagai peringatan kepada yang mampu agar turut menyumbang dan juga sebagai pendinding dari tohmahan manusia bahawa dia adalah seorang yang bakhil yang tidak menghiraukan kesusahan orang lain.

Apabila kita menyumbang sudah tentu kita akan sumbangkan kepada golongan yang memerlukan dan tidak berkeupayaan seperti fakir miskin yang mana dengan sumbangan tersebut golongan fakir miskin ini akan merasakan bahawa mereka masih diberi perhatian oleh orang-orang yang berada.

Pastinya tiada iri hati di hati si fakir di samping akan ada doa yang dipohon oleh mereka untuk golongan berada. Tambahan lagi, pemberian zakat dan sedekah di dalam konteks Islam adalah manifestasi semangat persaudaraan yang diibaratkan sebagai sistem takaful yang akan membantu orang-orang yang memerlukan dalam apa keadaan sekalipun.

Bersihkan hati

Zakat merupakan cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki. Bagaimanapun sifat tersebut akan menjadi barah dalam masyarakat jika tiada lagi sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati.

Syeikh Ali al-Jarjawi dalam bukunya, Hikmah al-Tasyri’ wa Falsafatuhu berkata: “Antara hikmah menunaikan zakat ialah membawa kepada keamanan dalam negara. Beliau memberi banyak alasan dan hujah bagi membenarkan kenyataan tersebut yang jelas menunjukkan bala menimpa masyarakat, negeri, negara dan tempat di mana pengabaian untuk mengeluarkan zakat berlaku. Natijah yang lebih parah lagi membawa kepada pembunuhan, jenayah, pencurian dan juga ramai yang ditangkap dan dimasukkan ke penjara kerana sebab harta benda dan kewangan.”

Di samping itu, maqasid zakat boleh dilihat kerana ia merapatkan jurang perbezaan yang ketara di antara golongan kaya dan miskin. Golongan yang berada dan kaya raya dapat membantu golongan miskin dan mereka yang amat memerlukan, manakala golongan miskin pula tidak mempunyai sifat cemburu, dendam dan rasa rendah diri yang keterlaluan ataupun sifat dengki terhadap golongan yang kaya raya.

Apabila jurang di antara golongan kaya dan miskin ini timbul di dalam sesebuah masyarakat, maka perpaduan dan kekuatan negara tersebut akan terhakis dan musnah. Justeru, perasaan tertekan dan emosi yang tidak terkawal disebabkan penghinaan akibat kemiskinan akan mendorong kepada timbulnya gejala buruk seperti peningkatan kes samun, mencuri, rompak, pecah rumah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa, gejala rasuah dan sebagainya.

Satu fakta yang tidak boleh disangkal ialah kejayaan sistem zakat bergantung kepada sistem pengagihan yang betul dan saksama agar institusi zakat dapat berperanan dalam menyekat dan membenteras dan mengurangi masalah kefakiran dan kepapaan.

Sesungguhnya amalan berzakat akan menambahkan keberkatan hidup, meraih doa malaikat, memadamkan kemurkaan ALLAH, menambahkan limpahan rahmat dan menolak azab akhirat yang berpunca dari sifat bakhil dan kedekut. Justeru setiap orang mampu wajib bertindak segera melaksanakan kewajipan penting ini sebelum segala-galanya sudah terlambat.