JAWAPAN: PERKARA ini pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW ketika Baginda SAW mengimamkan solat. Diriwayatkan oleh Rifa'ah bin Rafi' Bin 'Afra'.

Kata beliau: "Aku solat di belakang Rasulullah lantas aku bersin. Maka aku mengucapkan alhamdulillah hamdan kathiran toyyiban mubarakan fih mubarakan 'alaih kama yuhibbu Robbuna wa yardha.

Apabila Rasulullah selesai solat Baginda memalingkan wajah Baginda seraya bertanya: "Siapa yang bercakap dalam solat tadi?" Tiada siapa yang menjawab. Kemudian Baginda SAW bertanya lagi: "Siapa yang bercakap dalam solat tadi?". Tiada siapa yang menjawab. Baginda SAW bertanya untuk kali ketiga: "Siapa yang bercakap dalam solat tadi?" Rifa'ah bin Rafi' bin 'Afra' menjawab: "Aku wahai Rasulullah." Baginda SAW bertanya: "Bagaimana engkau menyebut tadi?" Rifa'ah menjawab: "Aku menyebut alhamdulillah hamdan kathiran toyyiban mubarakan fih mubarakan 'alaih kama yuhibbu Robbuna wa yardha." Maka Nabi SAW bersabda: "Demi Tuhan yang mana nyawaku berada di tangan-Nya, sebanyak 30 lebih malaikat berbondong-bondong naik ke langit dengan ucapan tersebut." (Riwayat Al-Tirmizi no 404, Al-Nasaie no 931 & Abu Daud no 773. Kata Imam Tirmizi: Hadis Rifa'ah adalah hadis bertaraf Hasan)

Sheikh Muhsin Al-Abbad ketika ditanya perihal hukum mengucapkan tahmid selepas bersin dalam solat, beliau menjawab: "Boleh mengucapkan tahmid, tetapi tidak boleh membalas ucapan dalam keadaan dia tidak mengangkat suara yang boleh mengganggu orang lain. Dia hanya boleh mengucapkan tahmid dengan kadar yang boleh didengari dirinya."

Secara ringkasnya dibolehkan seseorang yang bersin dalam solat untuk dia mengucapkan tahmid dengan syarat tidak menguatkan suaranya sehingga mengganggu orang lain. Ucapan tersebut perlulah disembunyikan iaitu hanya didengari dirinya sendiri.

Begitu juga, dengan mengambil kira pandangan ulama yang pelbagai, kami lebih cenderung kepada lebih baik tidak menjawab bagi orang yang mendengar ucapan tahmid tersebut. Ini kerana dia sedang solat dan ada bacaan yang perlu difokuskan.

SS DATUK DR ZULKIFLI AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

SUMBER: Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan