SHAH ALAM - Mahar yang diserahkan secara hutang adalah dibenarkan, tetapi mengikut persetujuan isteri.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohmad Al-Bakri dalam satu kenyataan hari ini berkata, mahar adalah pemberian wajib diberikan kepada isteri apabila akad nikah sudah termeterai.

"Hukum mahar atau dipanggil al-Saddaq adalah wajib sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut.

"Akad nikah yang tidak dinyatakan mahar adalah sah, dan mahar tetap wajib diserahkan kemudiannya. Mahar boleh diberikan secara tunai ataupun berbentuk hutang.

Katanya, perkara tersebut dirujuk al-Fiqh al-Manhaji yang berkata, mas kahwin tidak mempunyai kadar yang tetap. Setiap sesuatu dinamakan harta atau boleh ditukar dengan harta, boleh dijadikan ia dalam kadar sedikit atau banyak, tunai atau hutang, atau sesuatu yang bermanfaat seperti kain sejadah, wang, tempat kediaman atau mengajar sesuatu kemahiran.

Ini dijelaskan lagi menerusi firman ALLAH S.W.T dalam surah al-Nisa', ayat 24 yang bermaksud, Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu.

Perkara ini juga disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bersabda, Engkau berikahlah perempuan itu walaupun sebentuk cincin.

Katanya, mahar diserahkan secara hutang adalah dibenarkan tetapi berdasarkan persetujuan isteri dan ditentukan waktunya kerana itu adalah hak isteri.

Beliau berkata dengan merujuk al-Fiqh al-Manhaji berkata, pemberian mas kahwin tidak disyaratkan dengan segera, malah boleh disegerakan atau ditangguhkan sebelum persetubuhan.

"Isteri ada hak untuk menghalang diri daripada disetubuhi oleh suaminya sehinggalah mas kahwin diterimanya. Namun penangguhan itu perlu diettapkan masanya,"katanya.