APAKAH perbezaan antara penama dan pentadbir?

Secara amnya, penama adalah pihak yang diberi kebenaran untuk menuntut harta-harta yang ditinggalkan oleh seseorang si mati seperti simpanan KWSP, simpanan Tabung Haji, simpanan koperasi dan pampasan insurans/manfaat takaful. Apabila pemilik harta telah melantik penama, pengurusan harta pusaka akan menjadi lebih mudah dan cepat kerana harta pusaka si mati dapat dikeluarkan tanpa perlu menunggu perintah faraid dan surat kuasa mentadbir harta pusaka dikeluarkan.

Manakala pentadbir pula, yang juga dikenali sebagai wasi, adalah wakil yang dilantik untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan; melaksanakan wasiat, melangsaikan hutang dan membahagikan harta pusaka tersebut mengikut faraid. Pada kebiasaannya, pentadbir dilantik melalui wasiat yang telah dibuat si mati semasa hayatnya.

Tetapi, jika tiada pelantikan pentadbir dalam wasiat atau si mati meninggal dunia tanpa wasiat, maka pentadbir akan dilantik oleh Pegawai Pusaka atau Mahkamah Tinggi Sivil dengan mengeluarkan surat kuasa mentadbir (letter of administration @ LA) dan perlu mendapat persetujuan waris-waris.

Sebenarnya, penama dan pentadbir boleh dalam kalangan pihak yang sama, juga boleh dari kalangan pihak berlainan. Selain itu, penama juga boleh menjadi pentadbir dan pentadbir boleh menjadi penama. Namun, penama tidak semestinya adalah pentadbir dan pentadbir tidak semestinya adalah penama.

Memahami situasi

Bagaimana untuk memahami situasi di atas? Kita lihat contoh-contoh berikut:

1.    Lantikan penama, wasi atau pentadbir kepada orang yang sama.

Yaakub pada masa hayatnya memiliki simpanan yang dalam KWSP dan Tabung Haji, selain harta-harta lain seperti tanah dan rumah. Beliau telah meletakkan nama isterinya Puan Rosnah sebagai penama bagi akaun simpanan KWSP dan Tabung Haji.

Yaakub telah menulis wasiat,  dan melantik Rosnah sebagai pentadbir untuk harta-hartanya apabila beliau meninggal dunia nanti. Semasa Yaakub meninggal dunia, beliau telah meninggalkan waris-waris iaitu isteri (Rosnah), dua orang anak lelaki, seorang anak perempuan serta kedua ibu bapa kandung.

Berdasarkan kepada situasi di atas, Rosnah boleh membuat pengeluaran simpanan KWSP dan Tabung Haji arwah suaminya, Yaakub kerana beliau telah dilantik sebagai penama. Rosnah juga boleh memohon membuat pengesahan wasiat di Mahkamah Tinggi Syariah dan membuat permohonan mendapatkan surat kuasa probet di Mahkamah Tinggi Sivil untuk menguruskan harta pusaka arwah suaminya kerana beliau juga telah dilantik sebagai wasi atau pentadbir dalam wasiat.

Sebagai penama bagi harta pusaka arwah suaminya di KWSP dan Tabung Haji, Rosnah bertanggungjawab untuk membahagikan wang-wang tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak.

Manakala sebagai wasi atau pentadbir yang dilantik dalam wasiat, Rosnah perlu melunaskan hutang-hutang arwah suaminya, melaksanakan wasiat yang ditinggalkan dan melakukan pembahagian harta pusaka kepada waris-waris mengikut hukum faraid.

2.    Lantikan  penama, wasi atau pentadbir kepada dua pihak berlainan.

Semasa hayat Halimah, beliau ada mencarum satu polisi takaful yang menyediakan manfaat jika berlaku kematian. Dalam polisi tersebut, beliau telah meletakkan nama suaminya sebagai penama. Puan Halimah juga mempunyai simpanan KWSP dan meletakkan nama ibu beliau sebagai penama, penamaan itu dibuat ketika beliau masih belum berkahwin.

Halimah juga mempunyai harta-harta lain seperti rumah, saham, dan unit amanah. Beliau turut membuat wasiat dengan melantik MAIS wasi atau pentadbir kepada harta-harta pusakanya nanti. Tidak lama kemudian, Halimah jatuh sakit dan meninggal dunia, meninggalkan waris iaitu suami, seorang anak lelaki dan kedua-dua ibu bapa beliau.

Berdasarkan kepada situasi di atas, suami arwah Halimah perlu membuat tuntuan manfaat takaful daripada syarikat takaful atas polisi yang dicarum oleh arwah isterinya. Manakala si ibu perlu membuat tuntutan atas simpanan KWSP yang ditinggalkan. Jumlah kedua-duanya perlulah diisytiharkan dan diserahkan kepada wasi atau pentadbir, iaitu MAIS  supaya prosedur pengurusan harta pusaka arwah Halimah dan pembahagiannya dapat diteruskan seperti mana yang diwasiatkan dan mengikut hukum faraid.

3.  Lantikan penama dibuat tetapi tiada wasiat.

Omar telah melantik anaknya Karim sebagai sebagai penama untuk simpanan KWSP dan Tabung Haji beliau. Omar juga memiliki sebidang tanah dan dua buah rumah. Encik Omar tidak meninggalkan wasiat. Karim merupakan seorang anak yang baik dan amanah, serta mempunyai pengetahun mendalam berkenaan pengurusan harta pusaka.

Berdasarkan situasi di atas, Karim boleh membuat tuntutan simpanan KWSP dan Tabung Haji yang ditinggalkan oleh arwah bapanya, memohon surat kuasa mentadbir, mendapatkan persetujuan semua waris untuk menjadi pentadbir di Unit Pembahagian Pusaka Kecil, JKPTG memohon perintah faraid di Mahkamah Tinggi Syariah, melunaskan hutang-hutang si mati dan seterusnya membuat pembahagian harta-harta pusaka arwah bapanya seperti mana hukum faraid.

4.    Tiada lantikan penama dan tiada wasiat.

Semasa hayatnya, Hafiz tidak melantik penama dalam polisi takaful dan simpanan KWSP. Namun tidak menyediakan wasiat untuk menguruskan harta-harta tersebut kerana terlalu sibuk bekerja. Hafiz dijemput Ilahi secara tiba-tiba di tempat kerja dan meninggalkan seorang isteri, dua orang anak perempuan, ibu dan dua orang adik beradik lelaki.

Berdasarkan situasi ini, semua waris perlu berbincang dan bersepakat untuk melantik seorang pentadbir. Pentadbir akan bertanggungjawab untuk memohon surat kuasa mentadbir, memohon perintah faraid, melangsaikan hutang-hutang dan membahagikan harta pusaka yang ditinggalkan oleh arwah Hafiz kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid.