SHAH ALAM - Umat Islam disaran berfikir dan menilai diri sendiri untuk memberi manafaat kepada kehidupannya serta orang lain.

Pendakwah, Datuk Norhafizah Musa berkata, setiap orang mempunyai nilainya yang tersendiri bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga pada keluarga, sahabat, masyarakat dan lain-lain.

"Apakah kita satu sama dengan satu, atau satu sama dengan 1,000 atau satu sama dengan kosong atau satu sama dengan -10.

"Adakah kita seorang anak yang katakan jika tiada di rumah, emak dan ayah kata 'Seronoknya kalau ada kak ngah' atau keluarga cakap 'Kan seronok kalau abah ada' dan sebagainya. Begitu juga seorang ibu, kita kena berfikir, kita ada nilai tak dalam rumah ataupun ketiadaan kita lebih disukai anak-anak ataupun nilai kita nilai yang beri makna atau kesan pada orang lain," katanya yang dipetik menerusi video Jom to Jannah bertajuk Nilai Diri di Facebook peribadinya baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam perkara itu, Nabi Ibrahim AS digambarkan seorang yang hebat kerana walaupun baginda hanyalah seorang, tetapi satu ummah dapat menerima manfaat daripada nilai yang ada padanya, seperti mana firman ALLAH SWT dalam surah an-Nahl ayat 120.

"Ayat itu menggambarkan betapa hebatnya nilai Nabi Ibrahim AS. Dengan ini, kita perlu tanya kepada diri kita, berapa nilai kita dan bagaimana nilai kita dalam kehidupan org lain di dunia ini.

"Nilai ini mesti datang daripada manfaat kebaikan kita, Insya-ALLAH ia akan berikan kebaikan yang besar keberadaan kita dalam hidup orang lain khususnya dalam keluarga kita," katanya.