SEKIRANYA ditugaskan atau ingin menuju ke suatu destinasi yang belum pernah dijejaki, sudah tentu kita akan mencari maklumat tentangnya terlebih dahulu. Biasanya sebelum memulakan perjalanan, pelbagai persiapan akan dibuat. Antaranya berkenaan jalan, keperluan yang perlu dibawa, apa yang ada di tempat baru, dan juga kebarangkalian risiko atau halangan-halangan yang mungkin akan dilalui sepanjang perjalanan. Setelah maklumat dan persediaan tersebut dilakukan, barulah kita berasa yakin untuk memulakan perjalanan.

Apakah risiko sekiranya ke suatu tempat yang belum pernah kita sampai, tanpa sebarang persediaan serta panduan? Risiko yang bakal dihadapi mestilah besar. Barangkali kita akan tersesat jalan dalam keadaan kita sendiri tidak tahu kita sedang sesat. Akhirnya kita gagal tiba di tempat yang betul dan kita tercampak di tempat yang sangat seksa dan kita menyesal atas apa yang menimpa diri kita.

Begitu juga sekiranya kita mempunyai peta dan kompas di tangan, jika ia hanya disimpan dan tidak menggunakannya, kesudahannya juga pasti sama. Kita akan tersesat dan tiba di tempat yang salah.

Kehidupan  

Itulah analogi kehidupan kita di dunia ini. Kita dipilih oleh ALLAH SWT di dunia ini sebagai seorang khalifah. Diberikan amanah di dunia ini untuk dijaga. Dan ALLAH telah menetapkan kepada manusia bahawa dunia ini adalah tempat persinggahan yang sementara bagi mereka, dalam perjalanan pulang menuju ke akhirat. Itulah destinasi semua manusia.

Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-An’aam : 165).

Tugas khalifah merupakan satu amanah yang cukup besar. Justeru tugas ini sukar dilaksanakan tanpa ada panduan dan bimbingan daripada Tuhan. Kerana itu ALLAH SWT mengutuskan para RasulNya untuk mengajar manusia untuk mengenal Pencipta dan cara hidup menurut aturan dan perintah Tuhan.

"(Aku diberi kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari ALLAH dan perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaku menyampaikannya); dan sesiapa yang menderhaka kepada ALLAH dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya." (Surah Al-Jin : 23).

Segala ajaran Rasulullah SAW kepada umatnya adalah apa yang terkandung di dalam Al-Quran. Baginda SAW berpesan kepada kita semua agar berpegang teguh dengannya.

Daripada Abu Hurairah, RA, daripada Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab ALLAH dan sunnah Rasulullah SAW," (Riwayat Imam Malik).

Mukjizat Al-Quran

Al-Quran adalah kalam ALLAH yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai mukjizat. Diturunkan kepada Baginda SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril secara berperingkat-peringkat sehinggalah sempurna seperti mana yang kita lihat pada hari ini. Kitab Al-Quran ini terpelihara daripada sebarang penyelewengan dan perubahan pada isi kandungannya. ALLAH SWT berfirman:

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.( Surah Al-Hijr : 9 ).

Membaca Al-Quran merupakan suatu ibadah. Setiap bacaan kita diberikan pahala yang berganda oleh ALLAH SWT. Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,

Barang siapa membaca satu huruf daripada Kitab ALLAH (Al-Quran), dicatat baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan. Tidaklah aku mengatakan Alif, Lam, Mim satu huruf. Akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf. (Riwayat At-Tirmizi).

Bacalah

Ayat pertama yang diturun ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW adalah perintah membaca. Firman ALLAH SWT:  Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk) (Surah Al-‘Alaq: 1).

Nabi Muhammad juga berpesan kepada kita, "Bacalah Al-Quran, kelak di hari kiamat Al-Quran itu akan datang dan memberikan syafaat kepada tuannya (orang yang membacanya" (Riwayat Muslim)

Orang beriman tidak memisahkan Al-Quran daripada hidup mereka. Kerana apa yang terkandung di dalamnya penuh dengan petunjuk yang membawa kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat. Mereka berusaha belajar dan memahami isi kandungannya. Beramal dan mengambil iktibar daripada kisah-kisah umat terdahulu yang tidak mahu beriman kepada ALLAH dan mendustakan para Rasul.

Andai kita masih belum mahir membaca Al-Quran, janganlah menjadikannya halangan atau alasan untuk tidak membacanya. Pelajarilah ia kerana tiada istilah terlambat dalam menuntut ilmu. Sangat rugi orang yang tidak mahu mempelajarinya.