MASIH dalam semangat dan minggu menyambut merdeka, bukan? Jadi kita teruskan bertemu minda tentang pengertian merdeka di ruangan minggu ini.

Merintis hidup sebagai bangsa merdeka bukan alang kepalang kerjanya. Seperti pesan Pak Hamka yang kerap singgah di benak: “Hidup ini bukanlah suatu jalan yang datar dan ditaburi bunga melainkan adakalanya disirami air mata dan darah.”

Jika benar kemerdekaan Tanah Melayu dahulunya ditebus dengan air mata dan darah, lalu pasca 56 selepas bebas daripada cengkaman penjajah, merdeka yang bagaimanakah kita dambakan?

Pengertian merdeka itu sarwajagat, maksudnya luas. Bermula daripada minda yang merdeka, kebebasan bersuara di mana-mana medium pilihan, tahap kefahaman berkenaan hak kemanusiaan yang jitu, menjurus kepada kebebasan membuat keputusan dan memilih kerajaan.

Baru-baru ini, ada entri baru tentang pengertian merdeka untuk saya, di mana saya tidak berasa terpaksa atau terlalu patriotik ketika menyanyikan Negaraku sebelum menonton wayang. Ia bukan sesuatu membebankan untuk jiwa yang benar-benar merdeka.

Kadang-kadang saya rasa merdeka itu hanya satu hipotesis yang berpanjangan. Namun dalam menentukan hala tuju wahana perbincangan minggu ini, saya memilih untuk menulis tentang satu aspek kemerdekaan yang masih belum sempurna: bahasa kebangsaan.

Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, dalam bukunya, Harun Aminurrashid, pernah memetik kata-kata O.T. Dussek, pengetua pertama Maktab Melayu Kuala Kangsar: “Bahasa kamu, saya percaya, diucapkan oleh lebih dari 70 juta umat manusia. Ia merupakan satu daripada rumpun-rumpun bahasa yang terbesar di dunia ini. Jangan lupakan hakikat itu. Perliharalah bahasa kamu itu, berusahalah meninggikannya ke tahap yang layak di kalangan bahasa-bahasa dunia. Apabila taraf bahasa kamu tinggi, akan tinggi pulalah taraf bangsa kamu.”

Selepas itu, bertitik tolak pula daripada pemikiran Tunku Abdul Rahman pada 1975, di mana beliau berpesan: “Sekiranya bahasa kebangsaan tidak diperkenalkan negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian- apa yang boleh saya ungkapkan sebagai negara yang tidak mempunyai jiwa dan roh.”

38 tahun berlalu sejak Tunku bercakap soal peranan bahasa kebangsaan sebagai jiwa dan roh sebuah bangsa yang merdeka; 38 tahun sejuk dan sunyi, kekal mati. Tak sehangat laungan Merdeka! milik Tunku yang ditiup semula rohnya setiap kali 31 Ogos.

Pesan O.T. Dussek juga hambar dalam ingatan. Tiada yang ambil pusing kerana masih ramai antara kita yang tergagap-gagap bertutur bahasa kebangsaan. Kerana masih ramai antara kita yang langsung tidak boleh menulis dalam bahasa kebangsaan. Kerana masih ramai antara kita berasakan bahasa lain lebih agung daripada bahasa kebangsaan.

Apa lebih menyedihkan apabila ada di antara kita, yang mampu bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing sahaja. Jangan marah, saya berkata benar.

Juga perkembangan bahasa Melayu tidak digarap dan dipelihara pertumbuhannya dengan sempurna di bawah agensi kerajaan dan badan-badan bertanggungjawab sedia ada. Jika ada pun hanya segelintir pencinta bahasa yang benar berkhidmat atas dasar cinta, selebihnya mereka sekadar melepas batuk di tangga, asal gaji dikredit masuk setiap bulan, itu sudah cukup.

Jalan memartabatkan bahasa kebangsaan itu berliku, tidak boleh dibuat semberono. Rasa cinta kepada bahasa Melayu harus disemai seawal mungkin, rasa bangga menggunakan bahasa kebangsaan sebagai lingua-franca harus dibelai dan kita wajib memartabatkan bahasa kebangsaan tanpa perlu disuruh, didorong. 

Aktiviti yang berkisar tentang bahasa kebangsaan juga wajib diberi nafas baru, ditilik dan diperhati, lalu dibentuk mengikut selera orang muda. Barulah bahasa kebangsaan mampu menjadi perantaraan yang kontemporari bukan kuno; sesuatu yang cool bukannya ketinggalan zaman.

Meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa wahid dalam perantaraan kita seharian, tidak bermakna kita menyisihkan bahasa-bahasa ilmu yang lain – misalnya bahasa Inggeris.

Orang yang benar-benar merdeka tidak teragak-agak, apalagi takut untuk bercakap dan berdebat dalam bahasa kebangsaan. Bangsa yang penakut itu tidak berhak memiliki merdeka, kerana ketakutan itu merupakan seorang penasihat yang sangat curang dalam mana-mana kemerdekaan.

Apalah nasib badan, dalam soal memperkasa bahasa kebangsaan, kemerdekaan saya masih pincang.

• Elviza bakal mati beragan jika penanya dipasung. Satu sekolah untuk semua.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.