KENINGAU - Tindakan Datuk Jake Jikulin Nointin keluar daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) semalam tidak menggugat kekuatan parti itu dan BN di negeri Sabah.

Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, tindakan itu merupakan perkara biasa dalam pergolakan politik dan ia tidak memberi kesan kepada PBS dan BN di kawasan Liawan.

“Ini perkara biasa dan kita tidak perlu risau sebab PBS masih di hati rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ongkli berkata, secara keseluruhan, pengumuman Jake tidak mewakili kesemua Jawatankuasa Bahagian, cawangan serta anggota PBS di kawasan Liawan.

“Hari ini empat Ahli Jawatankuasa Liawan yang hadir bersama beliau (Jake) kelmarin, dan hari ini mereka bersama kita, selain 25 cawangan dan ketua-ketua cawangan turut berada di sini yang menunjukkan pengumuman yang dilakukan tidak seperti dilaporkan,” katanya.  

Pada Jumaat, Jake yang merupakan Ketua Pemuda PBS Sabah melepaskan keahliannya serta kesemua jawatannya termasuk Ketua Bahagian parti itu di Bahagian Liawan.

Ongkili berkata, semua yang didakwa Jake mengenai parti itu adalah tidak berasas kerana PBS merupakan parti berbilang kaum dan perjuangannya sangat jelas untuk memperjuangkan nasib rakyat di negeri Sabah tanpa mengira bangsa dan keturunan.

 “Perjuangan PBS masih di landasan yang betul dan pucuk pimpinan juga tahu mengapa Jake berbuat demikian.

“Semua ini berlaku kerana beliau ingin menjadi calon dan semua pihak tahu mengenainya, dan beliau mungkin berfikir tidak akan dicalonkan dalam pilahan raya akan datang... itu lah sebabnya tindakan keluar parti itu berlaku,” katanya.

Hadir sama di sidang media itu ialah Naib Presiden PBS Datuk Seri Radin Malleh dan disertai 300 pemimpin kanan parti itu.-Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.