SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa tidak akan ada kumpulan atau puak di dalam kalangan sayap parti itu.

Menurutnya, semua pasukan calon yang bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda perlu menjadi sebuah pasukan yang mantap bagi memastikan Umno lebih baik dan relevan untuk anak muda.

“Sesungguhnya yang menang kali ini tidak menang semua, begitu juga yang kalah tidak kalah kesemuanya.

“Sesungguhnya kita semua adalah bersaudara dalam keluarga Umno,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan Twitter Pemilihan Umno 2018, secara rasminya, Asyraf Wajdi disahkan sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia yang baharu buat penggal 2018-2021.

Sementara itu, Senator Khairul Azwan Harun atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro yang tewas dalam saingan merebut jawatan sama menawarkan diri untuk membantu kepemimpinan Ketua Pemuda itu.

Kata Asyraf, senario mutakhir menyaksikan bahawa generasi muda mahukan perubahan dan pengislahan khususnya dalam konteks Pemuda.

“Pemuda perlu bertekad untuk berubah dan berusaha segenap daya upaya untuk memulihkan kembali sokongan rakyat dan kepercayaan anak muda Malaysia kepada Umno.

”Pemuda Umno tidak boleh berlengah lagi, martabat Pemuda dan wadah Umno perlu diangkat kembali,” katanya.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda perlu keluar dari minda dan pembudayaan politik lama seperti sebelumnya.

“Pengkaderan, pentarbiyahan, pembudayaan ilmu, pengukuhan rohani dan pembinaan jati diri perlu menjadi prasyarat Pemuda untuk bangkit kembali menebus maruah Umno.

“Wacana pemuda Umno bukan sahaja perlu dibina atas garis politik integriti, beramanah dan bersih tetapi Pemuda Umno sendiri perlu dilihat berintegriti, beramanah dan bersih serta menjiwai nilai kepimpinan Islam,” katanya.