SHAH ALAM - Pas mengulangi pendirian bahawa tidak akan menyertai Pakatan Harapan dan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama politik dengan DAP dan Amanah.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan ini telah terbukti tepat berikutan sikap penentangan berterusan DAP dan Amanah terhadap agenda Islam yang dibawa oleh Pas termasuk RUU355.

"Sikap ini jelas kelihatan di Parlimen pada 6 April 2016, ketika Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)  dan Setiausaha Agong Pas (Datuk  Takiyuddin Hassan) membentangkan RUU355," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu pada Sidang Dewan Rakyat pada 6 Aril lalu, Abdul Hadi berjaya membentang RUU355 buat kali ketiga pada hari terakhir Parlimen bersidang.

Namun, sebelum Abdul Hadi membentangkan usul persendirian tersebut, beberapa ahli Parlimen antaranya (DAP - Puchong), Gobind Singh Deo, (DAP - Gelang Patah), Lim Kit Siang dan beberapa lagi ahli parlimen pembangkang dilihat bangun bagi membantah usul berkenaan.

Susulan itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan kesemua ahli parlimen terlibat untuk duduk atau mereka bakal berdepan hukuman keluar dewan ekoran daripada kekecohan yang timbul.

[ARTIKEL BERKAITAN: Usul RUU355 dibentang kali ketiga]

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, episod RUU355 juga membuktikan perumpamaan yang digunakan Presiden Pas betul, di mana kedua-dua belah ibarat 'biawak hidup' di mana satu belah tidak berani membawa, dan satu belah bukan sahaja menentang, bahkan hak Pas untuk membentangkan RUU355 melalui saluran demokrasi yang sah pun cuba dihalang.

"Mereka yang kepanasan berikutan pembentangan dan penghujahan cemerlang Presiden Pas dan Setiausaha Agong Pas di parlimen mengenai RUU355 kini cuba mengalihkan perhatian dengan meletakkan pelbagai tuduhan pada Pas tanpa seurat bukti dan juga bermain saraf untuk melagakan pimpinan Pas," katanya.

Namun, ujarnya strategi lapuk ini tidak akan berjaya kerana Pas yang ada hari ini telah menjadi lebih matang dan kukuh ekoran perpecahan di 2015.

"Kepada yang membuat tuduhan, laporlah kepada pihak berkuasa seperti polis dan SPRM agar tindakan dapat diambil terhadap Pas sekiranya ada.

Pas akan memberikan kerjasama sepenuhnya.Pas akan terus mara dan memperkukuhkan parti sebagai blok ketiga," katanya lagi.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GOMBAK - Pas memberi gambaran Rang Udang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 bakal dibentangkan selepas PRU14.
  • SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan penghargaan beliau di atas sokongan orang ramai mengenai pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau RUU 355.
  • SHAH ALAM - Usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 mendapat banyak reaksi daripada pemimpin dan juga rakyat di negara ini.
  • PUTRAJAYA - Perlu fahami pendekatan konsensus diamalkan BN berhubung pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
  • SHAH ALAM - "Tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak membenarkan perbahasan selepas Ahli Parlimen Marang, Datuk Sri Abdul Hadi Awang membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965 atau RUU355 di Dewan Rakyat pada 6 April 2017 adalah tidak munasabah," kata Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.