KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, mengalu-alukan keputusan bekas tokoh wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, untuk menyertai Bersatu.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Bersatu, berkata Rafidah, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, akan menjadi ahli parti itu.

“Kami mengalu-alukan beliau. Beliau telah bekerja dengan kami untuk sekian lama. Kami tidak tahu mengenai jawatan tapi beliau akan menjadi seorang ahli,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi China Dunia di Seri Kembangan, dekat sini, hari ini.

Semalam, Rafidah, yang dikenali seabagai ‘Wanita Besi Malaysia kerana pendirian tegas mengenai isu-isu negara,’dilaporkan menyatakan niatnya untuk menyertai Bersatu tetapi belum mengisi borang keahlian parti berkenaan.

Selaku penyokong tegar Dr Mahathir, Rafidah, bekas Ketua Wanita Umno selama 10 tahun, dipecat daripada Umno pada 5 Mei lalu.

Beliau didakwa menyokong pembangkang semasa musim kempen PRU14 lalu dan mengeluarkan kenyataan menghentam parti dan kepimpinan bekas perdana menteri dan presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama