SHAH ALAM - Medan PRU14 hanya akan menyaksikan pertarungan sengit antara BN dan Pakatan Harapan (Harapan).

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yussoff, berkata sementara itu Pas dijangka akan mengalami kekalahan yang teruk.

“PRU 14 akan hanya menyaksikan persaingan sengit antara BN dan Harapan sahaja, Pas adalah parti yang akan kalah teruk dalam PRU ini.

“Kerajaan Pas akan jatuh di Kelantan. Alasan kenapa saya berpandangan sedemikian telah saya hujahkan dalam kenyataan saya sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Dalam pada itu, beliau menafikan ada mengeluarkan kenyataan yang memburukkan peribadi pemimpin tertentu.

“Tetapi, untuk saya memburukkan peribadi pemimpin, melibatkan pencen dan lainnya, itu bukanlah sesuatu yang saya akan sebut dan nyatakan,” katanya.

Jelasnya, beliau sudah banyak kali berpesan, agar beretikalah dalam berpolitik.

“Pandangan saya betul pada hemat saya dan mungkin salah pada hemat yang lain. Tak mengapalah jika kita berbeza pandangan, tetapi janganlah sampai kita mereka cerita dan menabur fitnah,” katanya.