IPOH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak akan menggunakan pengangkutan helikopter dan bot bagi membawa peti undi dari kawasan pedalaman ke pusat penjumlahan undi selepas proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-13 selesai.

Pengarah Pilihan Raya negeri Perak Ahmad Adli Abdullah berkata langkah itu diambil bagi memudahkan operasi SPR pada hari pengundian memandangkan terdapat kawasan yang sukar diakses melalui jalan darat.

"Kebanyakan kawasan di Perak menggunakan jalan darat tetapi ada lokasi yang kita terpaksa gunakan helikopter kerana masalah jalan dan dikhuatiri tidak sempat membawa keluar peti undi pada hari pengundian," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata dua lokasi yang akan menggunakan helikopter ialah Kuala Mu di bawah Parlimen Sungai Siput dan Pos Tenau di Parlimen Tanjung Malim.

Katanya manakala bot akan digunakan sebagai medium pengangkutan peti undi di Tasik Banding, Sungai Tiang dan Pos Kemar di Gerik, Trong dan Pasir Hitam di Bukit Gantang serta Sungai Timah di Teluk Intan.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah pemilih di Perak adalah sebanyak 1,406,734 orang termasuk pengundi awal dan pengundi pos.

"Seramai 1,369,199 orang pengundi biasa, pengundi awal terdiri daripada tentera 24,570, polis 12,521 serta pasangan mereka dan 444 pengundi luar negara termasuk anggota kerajaan yang berkhidmat di perwakilan luar negara dan pelajar," katanya.

Ahmad Adli berkata terdapat 2,667 saluran melibatkan 778 pusat pengundian pada pilihan raya umum kali ini manakala bagi pengundian awal sebanyak 114 saluran melibatkan 67 pusat pengundian disediakan di kem dan balai polis di seluruh negeri.

Dalam pada itu, beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat dan bukti bahawa terdapat nama yang telah meninggal dunia di dalam daftar pemilih agar melaporkan kepada pihaknya atau Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Kita tidak boleh memandai batalkan nama pemilih begitu sahaja kerana kita bergantung dengan senarai JPN dan perlu merujuk kepada JPN sekiranya mendapat aduan...JPN bertanggungjawab untuk mengemaskini data mereka dan baru kita boleh berbuat demikian," katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming semalam yang mendakwa di DUN Kepayang terdapat hampir 40 orang yang berusia lebih 100 tahun di dalam daftar pemilih SPR. - Bernama