KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sekali lagi mengulangi desakkan agar Kerajaan mewujudkan Akta Sabotaj Ekonomi bagi menangani kes rasuah dan salah guna kuasa.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, Akta Sabotaj Ekonomi tersebut dicadangkan menggunakan konsep sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan pada 2012.

"Peruntukkan undang-undang sedia ada sekarang terlalu birokratik. Proses pendakwaan terlalu panjang. Contohnya selepas tangkapan dibuat, reman diberikan beberapa hari, pegawai penyiasat tak cukup masa (untuk siasat). Jadi kena tambah lagi tempoh reman. kemudian tahan dibebaskan.

"Sepanjang dibebaskan macam-macam boleh berlaku. Saksi boleh berpakat, maklumat boleh dimusnahkan. Proses pendakwaan makan masa. Ini semua buang masa,"katanya pada sidang media, Perhimpunan Agung Perkasa, hari ini.

Katanya, kes rasuah menjadi ancaman kepada keselamatan negara kerana itu mekanisme ISA boleh digunakan.

"Cara terbaik guna konsep dan pendekatan ISA. Tak payahlah bagi baju SPRM, riuh dekat TV lepas itu hilang sahaja, senyap, duit lebur," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan dasar presiden, Ibrahim mahu kerajaan mewujudkan dasar yang jelas mengenai pemilikan hartanah Bumiputera. Ia bagi merapatkan jurang pemilikan aset antara kaum.

"Dasar Pembelian Harta Aset, Rumah Kedai dan Premis Perniagaan perlu diwujudkan dengan Tabung Dana sebanyak RM30 bilion bagi tujuan membeli aset seperti rumah kedai dan premis perniagaan.

"Nilai aset ini tidak akan jatuh, malah terus meningkat dan tidak akan berlaku kerugian. Matlamatnya, kita mahu 50 peratus kaum Pribumi di seluruh bandar-bandar di negara ini memiliki aset perniagaan,"katanya.

Dalam pada itu, Perkasa juga mahu Kerajaan mengkaji semula kuota ekuiti Pribumi dengan meningkatkan kuota dari 30 peratus kepada 50 peratus. Ia selaras dengan status Pribumi sebagai bangsa teras dan hampir 70 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :