'Jiwa kena besar, hati kena kental'

ASYRAF WAJDI
ASYRAF WAJDI
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap pemimpin diingatkan supaya memiliki jiwa yang besar, hati yang kental serta terbuka dalam menerima pandangan berbeza dalam sesuatu isu.

Tanpa menamakan mana-mana individu ataupun pihak, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberikan nasihat terbabit melalui satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Menurut beliau, seseorang pemimpin bukan sahaja perlu berani memberi kritikan, tetapi juga bersedia menerima kritikan terhadap diri sendiri.

“Bersedia mengkritik, bersedia juga untuk dikritik. Jiwa kena besar, hati kena kental, namun fikiran harus sentiasa terbuka dan selalu berlapang dada,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis menyeru pemimpin sayap pemuda dalam parti politik supaya sentiasa meraikan perbezaan pendapat serta bersedia menerima kritikan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah memegang jawatan Pemuda UMNO dahulu dan memahami bahawa pemuda sentiasa mempunyai idealisme berbeza.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut berkongsi prinsip Imam Syafie Rahimahullah yang mengajar tentang etika berlapang dada dalam menerima pandangan berbeza.

"Imam Syafie Rahimahullah mengajar kita prinsip berlapang dada dalam menerima pandangan berbeza kerana tidak semuanya pendapat kita betul sentiasa dan tidak semestinya pendapat orang lain salah sentiasa, sebagaimana kata-kata beliau yang masyhur.

"Pandangan aku betul namun boleh jadi salah, dan pandangan orang lain salah namun boleh jadi betul" tulisnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pemimpin diingatkan memiliki jiwa besar dan hati kental terbuka menerima pandangan berbeza
  • Setiausaha Agung UMNO berikan nasihat melalui hantaran di Facebook
  • Pemimpin perlu berani memberi dan bersedia menerima kritikan
  • Presiden UMNO seru pemimpin sayap pemuda parti politik meraikan perbezaan pendapat
  • Asyraf Wajdi kongsi prinsip Imam Syafie tentang etika berlapang dada menerima pandangan berbeza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!