PONTIAN - Pemuda MCA Johor meminta kerajaan negeri berterus terang berhubung peruntukan RM200,000 yang diterima Adun PH selepas memenangi PRU14 lalu.

Ketuanya, Ling Tian Soon berkata, peruntukan yang diagih menteri besar itu patut digunakan dan bukannya memberikan alasan lapuk dengan mengaitkan kerajaan negeri dipimpin BN sebelum ini.

“Adun PH sudah dapat peruntukan, malangnya bila badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat minta peruntukan mereka bagi jawapan tiada duit sebabkan kerajaan dahulu sudah habiskan duit.

“Saya hendak maklumkan, Johor mempunyai deposit sekurang-kurang RM3.2 bilion sebelum kerajaan bertukar tangan pada bulan Mei lepas,” katanya pada sidang media di Pejabat MCA Bahagian Tanjung Piai di Jalan Sungai Gurap  di sini, hari ini.

Menurutnya, sikap gemar menyalahkan kerajaan negeri terdahulu juga jelas memperlihatkan tiadanya ketulusan pentadbiran kerajaan negeri pada masa sekarang.

“Jika dahulu di bawah kerajaan BN, dalam ucapan Adun mesti ada umumkan peruntukan tetapi sekarang Adun bagi alasan tiada duit.

“Jadi di mana ketulusan mereka, jangan dahulu pandai tanya ketulusan Adun BN tetapi sekarang mereka pula yang tiada langsung ketulusan,” katanya.

Dalam pada itu Tian Soon menggesa kerajaan negeri supaya memberi fokus mengurangkan pengangguran dan mencari pelabur baharu dalam belanjawan negeri yang dibentangkan 29 November ini.

“Ini memandangkan terdapat kilang-kilang ditutup sekali gus menyebabkan pekerja dibuang dan berlakunya pengangguran. Selama empat tahun berturut-turut, Johor menerima pelaburan tertinggi di negara ini. Tetapi kenapa tiada pelaburan besar yang datang ke Johor pada masa sekarang?,” katanya.