POKOK SENA - MCA Bahagian Pokok Sena yakin lebih 17,000 pengundi keturunan Tionghoa di kawasan itu akan memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.
   
Pengerusinya Goh Chin Cheung berkata kajian pihaknya mendapati kira-kira 6,000 pengundi Cina dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada dan hampir 4,000 dalam DUN Bukit Pinang yang terletak dalam kawasan Parlimen Pokok Sena, menyokong BN.
   
"Saya optimis dengan meletakkan calon yang betul, BN mampu merampas kerusi Parlimen Pokok Sena serta DUN Bukit Lada dan DUN Bukit Pinang.
   
"BN mungkin tidak hadapi masalah mempertahankan DUN Derga kerana 40 peratus dari lebih 17,000 pengundi Cina dalam Parlimen Pokok Sena berada dalam kawasan itu," katanya kepada Bernama semasa ditemui pada majlis sumbangan 'Kasih Sayang' Penyelaras BN DUN Bukit Lada Haris Che Mat di sini, hari ini.
   
Pada majlis itu, Haris yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Pokok Sena menyumbangkan makanan dan wang tunai kepada 98 warga emas kaum Tionghoa.

Sementara itu, Uh Kong Chew, 28, yang menerima bantuan kerusi roda berterima kasih kepada BN dan juga kepada Haris yang berjanji akan membantunya mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
   
Kaki kanan Uh terpaksa dipotong dari paras atas lutut setelah terbabit dalam kemalangan pada 10 Jan lepas dan dia kini bergantung pada bantuan keluarga untuk menyara isteri dan seorang bayi lelaki berusia hampir tiga bulan. - Bernama