KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang sekali lagi menunjukkan wajah sebenarnya dengan mempersendakan beliau dan menggelarkan beliau serta seorang lagi pemimpin Umno dari Sabah sebagai  "dua badut Umno".

"Jika seseorang itu membela partinya dan mempertahankan parti daripada pembohongan, fitnah  dan serangan akan menjadikan orang itu badut, maka setiap ahli politik di dunia akan menjadi badut bagi partinya sendiri,” kata Salleh dalam catatan terkini blognya, sskeruak.blogspot.com.

Beliau memberi respons kepada tindakan Kit Siang yang menggelarkan beliau dan seorang lagi pemimpin Umno Sabah iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebagai  "dua badut Umno.”

Salleh berkata sejak kebelakangan ini Kit Siang dilihat gemar memberi gelaran nama dan menggunakan pelbagai jenis nama yang menghina terhadap  mereka yang tidak sependapat dengannya.

"Baru dua hari lepas beliau mengunjungi pejabat SPRM dan menghamburkan puji-pujian namun hari ini beliau melukakan hati mereka dengan analogi  ‘tiga monyet’ dan meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifi Ahmad, serta para pegawai kanan SPRM supaya mengikuti kursus bahasa Inggeris.

"Jadi, apabila beliau rasa beliau boleh menggunakan SPRM untuk menyakiti Umno, SPRM adalah sahabatnya dan apabila mereka tidak lagi berguna kepada DAP, mereka adalah  ‘tiga ekor monyet’,” katanya.

Salleh turut bertanya sama ada DAP tidak memecat mana-mana anggota yang gagal akur dengan kehendak parti.

"Apabila orang menyokong parti mereka, anda menggelarkan mereka badut dan apabila mereka tidak akur dengan kehendak parti, anda memanggil mereka pengkhianat dan memecat mereka.

"Kit Siang perlu menyatakan pendiriannya tentang bagaimana beliau mengharapkan pemimpin parti menunjukkan kesetiaan.  Bukankah semua pemimpin DAP yang tidak mempersetujui bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi berdiam diri dan tidak berani menentang tindakan itu juga dianggap badut?," katanya. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang perlu memperjelaskan pendiriannya berhubung penghinaan yang dilemparkan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kumpulan etnik Bugis sehingga menimbulkan kekecohan baru-baru ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.
  • KUALA LUMPUR - Tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang membuat pusingan U mengenai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan parti tersebut tiada maruah.
  • KUALA LUMPUR - Pemimpin DAP Lim Kit Siang digesa menjelaskan pendirian Pakatan Harapan berhubung kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan bangsa Bugis pada perhimpunan pembangkang baru-baru ini.
  • KUALA LUMPUR - "Hari ini saya hendak beritahu Lim Kit Siang tolong nasihatkan anaknya (Lim Guan Eng) untuk letak jawatan," kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.
  • KUALA LUMPUR - Bendahari Umno Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pemimpin DAP Lim Kit Siang dengan bijaknya telah mengetepikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan tertinggi itu dan mempergunakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melindungi tujuan politik sebenar beliau.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.