SEREMBAN – Kenaikan harga minyak petrol secara berterusan sejak 10 minggu lalu menimbulkan ketidakpuasan hati Pemuda Amanah dan ia disuarakan melalui ‘flashmob’ yang diadakan secara serentak di seluruh negara, petang tadi.

Di Negeri Sembilan, bertempat di Jalan Yam Tuan berhadapan pasar raya Seremban Prima di sini, kira-kira 20 pemuda dan ahli parti itu berkumpul secara aman bermula jam 5.30 petang  sambil memegang sepanduk yang tertera pelbagai mesej.

Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan mengakui tindakan mereka mengadakan ‘flashmob’ itu mungkin tidak memberi apa-apa makna kepada kerajaan, tetapi tidak kepada rakyat.

“Kita tahu yang kerajaan tak ambil peduli pun ‘flashmob’ yang dianjurkan ini. Kita hantar memorandum pun tiada maklum balas dan tindakan daripada mereka. Tapi kita nak rakyat nampak dan sedar yang kerajaan hari ini tidak prihatin.

“Buktinya, walaupun harga minyak dunia jatuh, tapi sangat menghairankan harga minyak di negara kita terus naik dalam tempoh 10 minggu,” katanya.

Beliau turut berpendapat, kerajaan tidak tahu apakah jalan terbaik bagi mengatasi masalah itu termasuklah dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Bagi saya kerajaan tak tahu bagaimana nak atasinya dan tak buat apa-apa pun. Kononnya tindakan menetapkan harga minyak secara mingguan itu boleh membantu, tapi tidak beri apa-apa makna pun,"katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.