KUALA LUMPUR - Tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan Umno disifatkan tepat dan wajar.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun keputusan Mustapa itu agak terlewat namun masih belum terlambat.

“Kerosakan yang dibuat Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) seharusnya membuka pintu hati pemimpin Umno yang berani meninggalkan Umno sejak lama dahulu. Walaupun tindakan yang diambil agak lewat tetapi ia belum terlambat.

“Saya percaya sebagai seorang berpengalaman dalam politik, Mustapa telah memikirkan secara mendalam tindakannya untuk meninggalkan Umno. Tindakan beliau adalah tepat dan wajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa keluar Umno ]

Menurut beliau, Mustapa sedar bahawa apa yang akan terjadi dengan Umno yang sukar untuk dipulihkan.

“Parti itu tidak ada haluan yang jelas malahan sudah menjadi parti yang rosak,” katanya.

Muhyiddin turut berharap Mustapa akan terus menyumbangkan khidmat baktinya kepada negara.