SHAH ALAM - Kemelut pentadbiran negeri Perlis memasuki fasa baharu apabila pimpinan tertinggi Umno menyelar sebarang usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man serta usaha pemecatan beliau selaku ahli Umno oleh pimpinan negeri.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan kemelut di negeri itu tidak wajar berlaku apabila melibatkan pelantikan pimpinan dari parti Umno sendiri, apatah lagi sehingga mengundang kemurkaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“Kemelut di negeri Perlis melibatkan pelantikan (Datuk Seri) Azlan Man selaku Menteri Besar Perlis dan ‘usaha’ pemecatan beliau selaku ahli Umno adalah tidak wajar berlaku.

“Saya pasti penerimaan DYMM Raja Perlis di dalam majlis mengangkat sumpah YAB Menteri Besar semalam, semestinya telah mengambil pertimbangan yang sebaiknya untuk rakyat di Perlis. Keputusan ini harus kita hormati.

“Manakala, apa-apa keputusan untuk memecat ahli parti perlu dibawa kepada Lembaga Displin dan merupakan kuasa Majlis Tertinggi Umno dan bukannya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya, sebentar tadi.

Beliau menjelaskan, keadaan itu tidak seharusnya berlaku di kala Umno masih dalam proses pemulihan dan  pastinya situasi itu mengundang perhatian di kalangan rakyat seterusnya memberikan persepsi negatif kepada Umno.

“Dalam keadaan Umno yang masih dalam proses pemulihan, rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindakan kita. Rakyat telah memberikan mandat kepada BN untuk memimpin di Perlis dan kepercayaan ini harus dilaksana dengan penuh amanah.

“Seharusnya perkara seperti ini tidak boleh berlaku. Setiap dari pemimpin Umno harus berjiwa besar dan menampilkan kepimpinan yang terbaik untuk memenangi dan meyakinkan hati rakyat,” katanya.

Terdahulu,  Azlan telah mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis seterusnya menubuhkan kerajaan negeri selepas lebih dua minggu PRU14 selesai sejak 9 Mei lalu.

Namun, tindakan sembilan Adun BN yang tidak menghadiri upacara angkat sumpah jawatan menteri besar menyebabkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka.

Pengerusi BN dan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim kemudianya membuat satu sidang media dan menjelaskan Azlan dipecat serta merta dari Umno selain mendesak Raja Perlis agar tidak mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.