SHAH ALAM - Dakwaan Bersatu mengamalkan kronisme oleh bekas pemimpin parti itu, tidak timbul sama sekali, kata Timbalan Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

“Apakah yang beliau maksudkan dengan kronisme dalam parti yang baru wujud tujuh bulan? Saya pun nak tahu apa yang dimaksudkan kronisme itu,” soalnya. 

Malah katanya, tindakan bekas Setiausaha Kerja Bersatu, Kamarulazman Habibur Rahman keluar parti dilihat seperti ada muslihat lain yang tersembunyi. 

Tegas Abdul Rashid, Bersatu mencari pemimpin di peringkat bahagian yang jujur dan sanggup bekerja keras membangunkan parti tanpa memikirkan kepentingan diri. 

“Keluar dengan cara yang dilakukan itu mencerminkan akhlak yang amat tidak sempurna, boleh dianggap pengecut dan amat tidak sesuai untuk menjadi pemimpin atasan Bersatu,” katanya.  

Beliau  mengulas tindakan Kamarulazman yang mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti, ekoran dakwanya berlaku kronisme dalam pimpinan pusat terhadap jawatan di peringkat bahagian dan negeri seluruh negara. 

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, keluar masuk parti politik adalah perkara fundamental dalam parti. 

“Kalau parti lama pun orang keluar masuk, apatah lagi parti baharu. Bagi saya bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau luar biasa, malah saya hormati keputusan sesiapapun menyertai atau meninggalkan parti,” katanya. 

Katanya, menyertai pertubuhan politik yang sah adalah hak mutlak warganegara Malaysia namun hendaklah berjuang dengan ikhlas.

“Sama ada seseorang itu berasa serasi atau tidak dengan parti yang disertainya bergantung kepada keputusan orang tersebut.

"Tidak ada apa-apa paksaan. Dia boleh masuk dan keluar, yang penting ialah seseorang itu menyertai gerakan politik untuk tujuan yang baik demi bangsa dan negara,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas dakwaan Kamarulazman wujudnya kronisme dalam Bersatu.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.