KOTA BHARU -Tan  Sri Annuar Musa mengingatkan semua pihak tidak terlalu ghairah disebalik cadangan untuk mengadakan debat antara calon Presiden Umno.

Beliau berkata, debat secara umumnya baik bagi membolehkan para peserta berkongsi pendapat atas sesuatu isu, namun dalam konteks pemilihan presiden ia harus di fikirkan secara lebih berhemah dan penuh kebijaksanaan.

Annuar yang juga calon timbalan  presiden berkata, pada masa ini Umno adalah sebuah parti pembangkang dan sepanjang pengetahuan beliau tidak pernah ada sebuah parti pembangkang yang pernah mengadakan debat terbuka antara calon presiden parti mereka.

"Mungkin oleh kerana Umno atau calon-calon presiden Umno ada tarikan istimewa  tersendiri, maka debat ini di harap menjadi realiti.

"Namun suka saya menasihatkan mereka yg terlibat agar tidak terlalu ghairah sehingga terlupa gelanggang mana mereka harus bersilat dan irama paluan siapa yg harus mereka menari, "katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Annuar berkata, pemilihan jawatan dalam parti adalah urusan dalaman keluarga atau ahli Umno dan ia juga tertakluk kepada peraturan, etika dan tradisi tertentu.

Beliau khuatir dengan trend populis dan cuba mengikut rentak luaran secara berlebihan ia boleh membawa banyak keburukan dari kebaikkan, apalagi parti melalui satu kejutan kehilangan kuasa dan status pemerintah.

"Ia merupakan perkara sensitif dan tidak harus terdedah kepada orang luar, apa lagi musuh.

"Kita seharusnya lebih terbuka, tetapi keterbukaan itu mesti dalam kerangka yang memudaratkan matlamat dan strategi perjuangan," katanya.

Justeru, ahli parlimen Ketereh itu berkata, apa yang lebih penting  percaturan dalaman Umno  tidak boleh di tentukan oleh lawan  atau bertindak seperti menikam kawan dengan pisau yang di berikan pihak musuh.

"Bagi saya memadai dengan kita berwacana melalui pelbagai media.Kita melayani pelbagai wawancara dan kita berbicara melalui pelbagai cara.

"Jika mahu berdebat terutama bagi perkara menyentuh kepentingan rakyat dan negara,saya mencadangkan  kita adakan debat terbuka antara kerajaan dan  ketua pembangkang apabila genap 100 hari pentandbiran kerajaan Pakatan Harapan kelak," katanya.