BATU PAHAT - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak dicalonkan untuk bertanding pada PRU14 supaya kembali ke pangkal jalan menyokong parti demi mencapai kemenangan.

Menurutnya,  masih belum terlambat untuk mereka menoleh ke belakang dan kembali kepada parti sebelum hari penamaan calon, Sabtu ini.

"Masih belum terlambat, daripada sekarang hingga 28 haribulan ini (Sabtu) untuk kita melihat semula ke belakang.

"Mungkin kita sedang marah, mungkin kita sedang digoda, mungkin sedang terhimpit, maka, kita membuat keputusan yang tidak memihak kepada kebenaran diri kita," katanya.

Beliau berkata demikian  ketika berucap pada majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat dan Pecah Tanah Dewan Muafakat Rengit, di Kampung Parit Tengah, Rengit, di sini hari ini.

Hadir  sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan penyandang kerusi Dun Rengit Ayub Jamil.

Ahmad  Zahid berkata, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa berlapang dada dan berjiwa besar untuk menerima semula pemimpin berkenaan untuk kembali ke 'pangkal jalan'.

Jelasnya, di dalam politik, seseorang pemimpin itu perlu mempunyai tiga elemen untuk menjadi seorang pemimpin hebat iaitu memiliki daya tahan, daya juang dan daya saing, namun, kehebatan itu tidak sekadar dibaluti tiga elemen berkenaan kerana perlu disertai percaya kepada ketentuan Tuhan dan reda.

Menurut Ahmad Zahid, jika diikutkan rasa marah dan merajuk, beliau juga tentunya meninggalkan Umno apabila dikenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada suatu masa dahulu, namun, tidak berbuat demikian kerana memiliki jiwa yang kental terhadap parti.

"Saya juga ingin ingatkan diri saya, sebab saya sudah melalui pelbagai ujian. Terimalah hakikat (jika tidak dipilih sebagai calon).

"Saya tidak menujukan hal ini kepada sesiapa tetapi ingatlah ALLAH sentiasa menguji hambanya yang disayangi dan kita tidak tahu apa hikmah yang ALLAH turunkan selepas ujian itu," katanya.

Zahid berkata, setiap pemimpin perlu membuktikan prinsip wala' yang sebelum ini sentiasa diberi keutamaan oleh pemimpin parti termasuk soal pemilihan calon.

"Bagi saya, kalau kita wala' apa yang diputuskan Datuk Seri Mohamed Khaled  dimuktamadkan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN tentu ada rasional dan sandaran mengapa seseorang itu dipilih," katanya.

Katanya, BN mahu calon di negeri ini menang besar bagi menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri dan atas sebab itu BN mencari calon yang berpotensi menang besar pada PRU14.

"Menerusi kajian secara bebas, bukan meletakkan siapa pemimpin dikehendaki, tetapi yang rakyat kehendaki. Insya-ALLAH boleh menang," katanya. - Bernama