KUANTAN – Anak kelahiran Jengka yang juga Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kapar, Ahmad Kamarudin dijangka mencabar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi Port Dickson pada PRK nanti.

Desas desus dikongsi serta disebarkan dalam aplikasi WhatsApp itu mengatakan Ahmad, 42, yang mengumumkan keluar PKR April lalu dan menyertai Parti Rakyat Malaysia (PRM) akan bertanding menggunakan tiket parti berkenaan

Ketika dihubungi Sinar Harian, Ahmad mengesahkan namanya memang berada dalam senarai pendek pemilihan calon yang dibuat parti hari ini, di Kuala Lumpur.

“Ya nama saya memang ada dalam senarai pendek calon PRK Port Dickson. Namun siapa yang akan dipilih oleh parti untuk bertanding, biarlah ia diumumkan parti esok.

“Saya sebagai ahli biasa menyatakan kesediaan sekiranya terpilih untuk mewakili parti nanti. Pengumuman akan dibuat dalam sidang media di Permatang Pauh,” katanya yang pernah bertanding menentang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kerusi Dun Bukit Antarabangsa PRU14, 9 Mei lalu.

Ahmad berkata, Malaysia akan berada di persimpangan politik selepas PRK Port Dickson sekiranya kemenangan berpihak kepada Anwar.

“Buat masa sekarang Malaysia tidak perlu Perdana Menteri baharu dalam tempoh dua tahun ini. Mengelakkan perkara ini berlaku, saya buat keputusan untuk bertanding. Terpulang kepada parti untuk memilih saya atau tidak. Kita tunggu pengumuman esok. Hari ini, parti masih bermesyuarat,” katanya.

Menurutnya, selepas berjuang bersama PKR lebih 20 tahun lalu beliau hilang kepercayaan kepada parti yang dianggapnya gagal membela rakyat.

Sejarah penubuhan PKR asalnya menentang Tun Dr Mahathir Mohamad kini ibarat memperalatkan parti itu untuk kepentingan sendiri, kerana menyokong Dr Mahathir.

Beliau yang menjadi Ketua AMK Cabang Kapar pada 2011 hingga 2014 berharap, Pas dan BN tidak bertanding di Port Dickson bagi membolehkan PRM dan PKR bertanding satu lawan satu.