SHAH ALAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyindir tuntutan kebebasan yang dituntut oleh komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sambil menjelaskan bahawa kebebasan itu adalah untuk haiwan dan bukannya manusia.

Ini kerana menurut Wan Salim, kebebasan manusia mestilah dibatasi dengan agama dan adat.

Di Malaysia katanya. ada raja-raja Melayu yang berkuasa dalam hal-hal berkaitan dengan kedua-dua perkara tersebut.

“Apa yang mereka perjuangkan sebenarnya ialah kebebasan haiwan kerana kebebasan manusia mestilah dibatasi agama dan adat. Sesungguhnya kebebasan mutlak tidak wujud di dunia ini, sehingga dalam dunia biologikal pun ada batasnya.

“Kebebasan yang dituntut oleh golongan LGBT sebenarnya adalah kebebasan palsu, yang sekiranya tidak dicegah dengan segera, akan mengheret negara dan bangsa Malaysia ke jurang kehancuran,” katanya kepada Sinar Harina, semalam.

Mengulas lanjut katanya, golongan LGBT boleh mendapat hak-hak mereka di sisi undang-undang, sama seperti apa yang diperolehi oleh rakyat Malaysia yang lain.

Namun katanya, untuk menuntut hak yang bertentangan dengan nilai-nilai murni yang selama ini dijunjung dan disanjung oleh masyarakat beragama di negara ini, maka ia adalah tuntutan yang melampau.

“Justru kita tidak boleh membenarkan tuntutan untuk berkahwin sama sejenis atau mempromosikan kegiatan seks luar tabie dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, dengan membenarkan kegiatan sebegitu, ia bererti kita bukan sahaja menentang hukum agama, malah juga menentang hukum tabie.

“Dalam perspektif Islam, kedua-dua hukum ini merupakan ketetapan Ilahi yang saling melengkapi. Menyanggah hukum-hukum ini pasti akan membawa kepada malapetaka dan kemusnahan tamadun,” katanya.