KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang menggubal undang-undang khusus bagi mengekang penyebaran visual ngeri yang melibatkan kes seperti kemalangan jiwa dan tragedi oleh media serta orang ramai.

Menteri Komunikasi dan Multimedia,  Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ini kerana undang-undang sedia ada dilihat memadai dan boleh diguna pakai untuk menangani tindakan sedemikian.

Beliau berkata perundangan sedia ada dapat memastikan media penyiaran dan media sosial di Malaysia mengekang serta mengehadkan pelaporan berita mengandungi visual yang menyentuh sensitiviti keluarga mangsa terlibat.

Jelas beliau, media penyiaran dan media sosial tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), manakala stesen televisyen swasta dikenakan syarat tambahan melalui syarat lesen Pemberi Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I) dan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula tertakluk  kepada Kod Etika Penyiaran RTM, kata beliau.

“Tindakan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran syarat lesen dan ketidakpatuhan kepada Akta 588.

“Perkara ini turut diselarikan dengan tindakan berbentuk pentadbiran seperti mengeluarkan surat berbentuk nasihat dan peringatan kepada pada pengamal media televisyen sama ada RTM atau swasta dan media sosial bagi pelanggaran peruntukan,” kata Salleh dalam sesi kamar khas di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) yang ingin tahu sama ada kementerian akan menggubal satu rang undang-undang dengan menamakan sebagai ‘Jabba’s Law’ bagi mengekang dan mengehadkan  tindakan penyebaran gambar-gambar jasad sebagai langkah menghormati sensitiviti dan keperitan keluarga.

Rozman berkata tindakan penyebaran gambar mangsa tragedi seperti dalam kes David William Cornish Underwood@Jabba yang mati selepas terjatuh dari tingkat 14  sebuah bangunan di Cheras, April lepas, seolah-olah tidak menjaga kehormatan mangsa yang sudah meninggal dunia, justeru langkah mengekang tindakan sedemikian di arus perdana adalah perlu sebagai menutup aib.

Mengulas lanjut, Salleh berkata media arus perdana bagi kategori media cetak pula tertakluk di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan seksyen 7 (1) akta ini memperuntukkan bahawa apa jua penerbitan yang boleh memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan atau menggemparkan fikiran orang ramai boleh dikenakan tindakan termasuk Perintah Larangan oleh Menteri Dalam Negeri melalui penyiaran dalam Warta.

Katanya satu Garis Panduan Penerbitan telah disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk memberi penerangan dan penjelasan berkenaan hasil penerbitan tidak diingini yang digariskan di bawah Seksyen 7(1) Akta tersebut.

“Di bawah perkara 4.2.12 dalam garis panduan itu, gambar ngeri kejadian yang benar-benar berlaku akibat kemalangan, perang atau pengeboman memang tidak dibenarkan dan penerbit boleh dikenakan tindakan,” katanya. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BELUD - "Usaha kerajaan mendorong lebih banyak pelaburan swasta dalam meletak atur fiber baru-baru ini adalah bagi mencapai matlamat negara untuk meningkatkan kelajuan jalur lebar dan menurunkan harga," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dengan semangat Malaysia.
  • KUALA LUMPUR - Penggubalan undang-undang mengekang berita palsu bertujuan melindungi kepentingan seluruh rakyat Malaysia, termasuk pembangkang agar tidak menjadi mangsa berita palsu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan kempen 'undi rosak' oleh pihak tertentu sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak baik untuk demokrasi dan negara.
  • KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia bertambah baik disebabkan kesan positif daripada tadbir urus dan dasar kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.