• Tun Abdullah Ahmad Badawi Tun Abdullah Ahmad Badawi
1 /

KEPALA BATAS - Cadangan membina terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer dari Gurney Drive ke Bagan Ajam tidak sesuai kerana negeri ini sudah memiliki dua jambatan yang menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata terowong itu juga bukan satu keperluan mendesak untuk menyelesaikan masalah lalu lintas dan isu kepadatan trafik di bahagian pulau negeri ini.

Beliau berkata tindakan terburu-buru kerajaan negeri untuk membina terowong itu menunjukkan mereka tidak mempunyai perancangan teliti dan hanya ingin meraih publisiti.

"Kita sudah ada dua jambatan, termasuk Jambatan Kedua Pulau Pinang yang akan beroperasi dalam tempoh terdekat. Jadi, mengapa hendak bina lagi terowong dasar laut.

"Ini bukan satu keperluan ketika ini, dan apa yang penting, kerajaan negeri perlu selesaikan isu kepadatan trafik di bahagian pulau," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karisma Teman 1Azam Kepala Batas hari ini.   

Pembinaan terowong dasar laut itu adalah antara projek mega bernilai RM6.3 bilion yang diumum kerajaan negeri pimpinan DAP selain tiga lebuh raya utama.

Abdullah, yang juga anggota Parlimen Kepala Batas, berkata kerajaan negeri juga perlu melihat kesan jangka panjang pembinaan terowong itu, terutama kepada nelayan pesisir, kerana pembangunan tidak terancang sedemikian boleh menjejas mata pencarian mereka.

Beliau berkata meskipun projek terowong dasar laut itu sudah dirancang ketika Barisan Nasional (BN) memerintah Pulau Pinang, beliau berkata kerajaan BN terpaksa mengubah pelan berkenaan selepas melakukan penilaian dari pelbagai sudut.

"Kita ubah fikiran dengan tidak melaksanakan projek terowong ini, sebaliknya membina jambatan kedua kerana langkah itu dirasakan terbaik dan lebih relevan untuk menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dari tanah besar ke pulau," katanya.

Abdullah berkata isu yang perlu diberi perhatian sekarang bukanlah keupayaan kerajaan negeri membina terowong itu, sebaliknya langkah lebih sesuai dan efektif yang perlu dilaksana.

"Saya tidak cakap kita tak perlu bina terowong itu selama-lamanya, tetapi ia dilihat bukan keperluan mendesak pada masa ini kerana kita sudah ada akses yang cukup dengan pembinaan jambatan kedua yang akan beroperasi dalam tempoh terdekat," katanya. - Bernama