SHAH ALAM - PKR menggesa Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria supaya mengeluarkan kenyataan lebih adil, bukannya membuat pendirian "selektif" seperti yang dikeluarkan terhadap Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar, semalam berhubung kenyataan kontroversi kebebasan beragama.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Harussani sepatutnya mengeluarkan kenyataan lebih terbuka terhadap sesiapa sahaja yang didapati 'bersalah' berhubung isu agama termasuk bekas Perdana Menteri sebelum ini.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, PKR yakin Harussani boleh menjadi seorang yang amanah dengan tidak bersikap selektif dalam memberi pandangan dan kenyataan terhadap setiap individu.

Tambahnya, "ada juga kenyataan dua orang bekas perdana menteri kita, seorang pada 2007 yang turut menyatakan 'orang Islam berhak tukar agama dan bebas berbuat demikian' tapi tidak disiarkan di media tempatan dan satu lagi penghinaan mengenai sunnah Rasulullah."

"Harussani perlu berlaku adil dan tidak selektif dalam memberi pandangan termasuk sesiapa sahaja yang menyimpang dari Islam.

"Saya yakin beliau seorang yang amanah sekiranya beliau turut memberi kenyataan serupa kepada kedua bekas pimpinan negara itu," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Harussani dilaporkan menasihatkan supaya Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai, bertaubat serta memohon keampunan daripada ALLAH SWT serta menarik kembali kenyataannya berhubung kebebasan beragama pada sebuah forum di Subang Jaya baru-baru ini.

Beliau juga mengulangi nasihat itu untuk seluruh pengikut pemimpin PKR terbabit yang menyokong serta bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan itu kerana ia adalah berdosa besar.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, jika Harussani boleh memberi kenyataan berhubung isu Nurul Izzah, PKR juga meminta beliau tegas memberi kenyataan kepada pemimpin lain.
   
"Jangan hanya berani bagi kenyataan kepada kita sahaja, beliau perlu amanah dalam menjalankan tugas dan tidak memilih kepentingan.

"Beliau juga perlu tegas kepada semua," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengakui menguruskan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah antara tugas yang paling mencabar dalam kariernya sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
  • SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) mengalu-alukan pembentukan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) menyiasat secara bebas kerugian urus niaga mata wang asing (forex), sekali gus menyelesaikan kes lebih 25 tahun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.