GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sesekali tidak akan berganjak dalam memastikan ketelusan hasil siasatan berhubung kes derma RM2.6 bilion dan SRC International yang kini sudah di peringkat akhir.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, siasatan mengenai kedua-dua kes berkenaan sedang dikemaskini dan akan diserahkan kepada Peguam Negara sebelum 31 Disember ini.

Beliau berkata, pasukan penyiasatnya sudah menjalankan tugas dengan baik walaupun ia antara kes yang paling mencabar.

“Walaupun ada pelbagai persepsi mengenai isu ini, selagi saya (jadi) ketua pesuruhjaya, saya akan menjalankan siasatan dengan profesional. Sekiranya ada kes, kita akan cadangkan di dalam kertas siasatan kita apa yang kita jumpa. Dan ia betul-betul berasaskan merit .

“Tidak ada pihak-pihak lain yang akan mempengaruhi kita dan hala tuju siasatan kita. Itu janji saya kepada pegawai SPRM dalam satu perjumpaan.

“Kita memegang (berpegang kepada) prinsip menjalankan tugas cara profesional. Tanggungjawab kita dari segi undang-undang ialah menjalankan siasatan dan mendapatkan apa sebenarnya berlaku bergantung kepada saksi yang kita temui dan temu bual.

“Apa yang kita dapat itulah yang akan kita masukkan dalam kertas siasatan kita. Dan itulah juga yang akan kita kemukakan  kepada peguam negara berserta dengan pandangan pandangan kita. Kita tidak akan beranjak dari itu,” katanya.

Dalam pertemuan eksklusif bersama Sinar Harian, Abu Kassim berkata,  rakyat Malaysia akan mengetahui jawapan kepada isu wang derma RM2.6 bilion apabila tiba masanya.

Katanya, walaupun siasatan sedikit terganggu dengan  beberapa insiden seperti yang sudah diketahui umum, namun pasukan penyiasat SPRM dapat berada pada landasan yang betul dan berjaya melaksanakan tugas siasatan dengan profesional.

“Siasatan berdasarkan apa yang menjadi tanda tanya rakyat berhubung  kedua-dua isu berkenaan, termasuk berjumpa dan mengambil keterangan penderma RM2.6 bilion.

“Ia satu tempoh siasatan panjang, dan paling mencabar, membabitkan banyak pihak. Untuk SRC International sahaja, kita panggil lebih 90 saksi, manakala bagi kes derma RM2.6 bilion pula banyak melibatkan pihak yang berada di luar negara.

“Saya akui memang ada gangguan dalam siasatan ini, tetapi kita buat siasatan tanpa mengira kedudukan, jawatan, warna kulit dan status. (Daripada) Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga sudah diambil keterangan bagi bantu siasatan berhubung kedua-dua kes,” katanya.

Katanya, SPRM melakukan yang terbaik. Semua siasatan ada dalam laporan kertas siasatan yang akan diserah kepada Peguam Negara, dan menjadi kuasa Peguam Negara untuk membuat dakwaan atau sebaliknya.

Ikuti wawancara  bersama Abu Kassim bagaimana krisis tangkapan ke atas pegawainya berlaku ketika ketiadaannya di tanah air, benarkah ada desakan beliau meletakkan jawatan dan berita pemecatan peguam negara yang dianggap mengejutkan. Semuanya dalam Sinar Harian, esok.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Jangan ganggu urusan siasatan berhubung isu Felda dan biarlah pihak berkuasa termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang jalankan tugas mereka.
  • PUTRAJAYA - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak semakan kehakiman oleh kerajaan negeri Selangor berhubung Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi negeri Selangor, menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melaksana tugas dengan telus selaras dengan kehendak perundangan.
  • KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad hari ini menegaskan bahawa suruhanjaya itu tidak pernah menerima sebarang tekanan politik termasuk arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahupun barisan kabinet beliau berhubung siasatan yang dijalankan.
  • SHAH ALAM - "Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya menangkap penyamun, bukan menjadi perkasas," kata Pengerusi Hisbah Center for Reform, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.
  • KENINGAU - Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan pelindung dan benteng terakhir masyarakat dalam memastikan negara ini benar-benar bebas daripada cengkaman rasuah dan salah guna kuasa.