• Azalina (tengah) ketika menyampaikan replika cek kepada wakil peneroka <br> sempena Majlis Penyerahan Duit Durian Runtuh di Dewan Felda Sening, semalam. Azalina (tengah) ketika menyampaikan replika cek kepada wakil peneroka
    sempena Majlis Penyerahan Duit Durian Runtuh di Dewan Felda Sening, semalam.
1 /

KOTA TINGGI – Mereka yang mengutuk kerajaan dicabar untuk keluar daripada tanah rancangan Felda kerana mereka tidak diperlukan di dalam kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said berkata, ramai lagi masyarakat di luar yang mahu menjadi warga Felda menggantikan tempat mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

“Saya nak cabar mereka yang mengutuk kerajaan Umno agar jangan ambil duit durian runtuh ini. Bawa anak dan isteri keluar daripada tanah rancangan Felda kerana kita tidak perlukan mereka. Ramai lagi yang mahu masuk Felda,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Duit Durian Runtuh di hadapan kira kira 800 masyarakat Felda di Dewan Felda Sening, semalam.

Azalina turut menafikan durian runtuh dan juga durian gugur yang diumumkan Perdana Menteri buat masyarakat Felda itu adalah untuk memancing undi.

“Duit yang diberikan kerajaan ini bukan untuk pancing undi. Bukan duit rasuah seperti yang didakwa pihak tertentu, sebaliknya ia adalah duit jaminan daripada kerajaan bahawa peneroka Felda akan dapat keuntungan dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke bursa Malaysia.

“FGVH disenaraikan agar peneroka Felda dapat pembelaan di bawah satu payung untuk mengaut kekayaan. Di mana dengan penyenaraian FGVH ini bakal memberikan keuntungan yang besar buat masyarakat Felda sendiri," katanya.

Tambahnya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri sekarang, penduduk Felda sepatutnya berasa beruntung kerana sentiasa diberikan keutamaan.

Pada majlis tersebut, Azalina turut menyempurnakan penyerahan replika cek durian runtuh kepada wakil peneroka daripada sepuluh Felda di bawah kawasan Parlimen Pengerang.

Sementara itu, salah seorang peneroka Felda Sening, Kasmon manan, 65, menganggap durian runtuh tersebut amat berbaloi dengan kesusahan yang dilalui satu masa dahulu.

“Jika pada tahun 1980 kami pernah menerima gaji sebanyak RM5 sahaja, kini Alhamdulillah semua peneroka Felda sudah mewah dan dapat hidup senang. Segala pengorbanan kami benar-benar berbaloi,” katanya yang berhasrat untuk melabur wang yang diterima di Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Bagi Manijah Surip, 61, peneroka dari Felda Papan Timur pula berkata, penduduk Felda sekarang amat beruntung kerana hidup senang dan tidak perlu berjimat seperti dahulu.

“Dahulu kita bukan sahaja terpaksa berjimat makan, malah semua perkara perlu berjimat untuk meneruskan kehidupan. Kini masyarakat Felda sudah dapat mengecapi kehidupan yang mewah,” kata ibu kepada lima anak itu.