JOHOR BAHRU – Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyerahkan sepenuhnya keputusan mengenai kedudukannya sama ada akan bertanding pada Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) atau sebaliknya kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahrizat yang juga Men­teri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, niatnya menyertai Umno ialah mahu memperjuangkan agama, bangsa dan negara, bukan semata-mata mengejar jawatan.

“Kena ingat, saya masuk jadi ahli Umno dan menjadi Ketua Wanita Umno Bahagian Kepong selama 30 tahun, di mana Umno bahagian Kepong ini bukan kawasan ahli atau pemimpinnya akan menjadi calon.

“Kalau untuk merebut menjadi calon atau jawatan menjadi niat utama saya, tentunya saya tidak di Kepong, saya sudah pindah di bahagian lain yang ada potensi, namun saya tidak pindah kerana niat saya ikhlas,” katanya pada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Juita dan Projek Juita ku Sayang Ke-14, di sini, semalam.

Shahrizat turut mengingatkan ahli Umno agar tidak terlalu taksub untuk menjadi calon kerana ketaksuban merebut jawatan itu akan membawa padah buat individu tersebut.

“Saya tengok ketaasuban siapa hendak menjadi calon ini akan membawa padah kepadanya, kita mesti memberi tumpuan untuk kerja-kerja menghadapi pilihan raya.

“Saya selaku Ketua Wanita memberi tumpuan untuk menentukan jentera wanita mantap dan dalam tahap siap siaga kerana kita hendak berperang pada PRU13, untuk menentukan jadi calon atau tidak itu hak Presiden Umno,” katanya.

Mengulas mengenai desakan untuk beliau melepaskan jawatannya, Shahrizat enggan mengulas lanjut dan menyerahkan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) itu kepada badan pengurusan tersebut untuk menjawab.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.