KUALA LUMPUR - Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail diminta untuk tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri, kata Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Kenyataan itu dikeluarkan Shahidan susulan Datuk Seri Azlan Man yang baharu mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis biarpun tanpa mendapat sokongan tanpa kehadiran sembilan Adun BN.

“Saya merayu tuanku raja supaya menghormati perlembagaan sebagai raja berperlembagaan.

“Tuanku tak perlu campur tangan tentang pentadbiran sebab pentadbiran akan uruskan. Tidak perlu risau Perlis tiada bajet dan sebagainya, itu adalah urusan menteri besar,” katanya di ibu pejabat Umno, di sini semalam.

Shahidan berkata, kami memohon supaya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya campur tangan, kaji semula kuasa pelantikan Menteri Besar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Raja Perlis murka tindakan 9 Adun]

Beliau turut merayu terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai pakar undang-undang untuk memberi pandangan tentang perkara ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai titah Raja Perlis yang murka dengan tindakan sembilan Adun BN yang tidak hadir pada majlis pelantikan dan angkat sumpah menteri besar semalam, Shahidan kelihatan tidak berpuas hati.

“Apa itu murka? Anda bagi tahu saya apa itu murka? Apa makna murka? Ini bahasa-bahasa yang diperindah demikian rupa.

“Tak adil. Kami bertanding pilihan raya. Kami berhak untuk menentukan siapa pemimpin kami. Kita bertungkus lumus. saya menggadai jiwa dan raga untuk pilihan raya. Tak kiralah negari lain kalah tapi saya menang dua per tiga majoriti,” katanya.

Jelasnya, pelantikan yang dipilih tanpa sokongan majoriti adalah tidak beretika dalam perlembagaan.

Terdahulu, media melaporkan Tuanku kecewa dengan tindakan sembilan Adun BN kerana tidak menghadiri upacara angkat sumpah jawatan menteri besar.

Dalam majlis itu, Azlan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis, lebih dua minggu selepas PRU14 lalu.