KUALA LUMPUR - "Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang". Inilah peribahasa yang cukup tepat dalam menggambarkan banjir buruk yang melanda Kelantan pada akhir 2014.

Biarpun taburan hujan luar biasa di Ulu Kelantan adalah antara punca utama banjir paling buruk melanda negeri itu, ia perlu dilihat secara holistik dalam pelbagai aspek seperti topografi, penggunaan tanah dan keadaan sungai yang menyebabkan bencana itu mengganas.

Dalam tiga siri sebelum ini, kedua-dua penulis telahpun mengemukakan beberapa fakta antaranya Sungai Nenggiri yang semakin cetek, pembalakan yang masih berleluasa, pembukaan tanah yang ketara terutama pembangunan ladang berhampiran sungai tanpa zon rizab sungai.

Selama 11 hari itu juga kedua-dua penulis melawat sekitar tanah jajahan Kelantan, di sepanjang jalan utama dari Gua Musang menghala ke Kota Bharu.

Turut kelihatan slogan 'Anok Kelate, Saye Hute' (Anak Kelantan, Sayang Hutan) yang ditulis di atas papan tanda arah hutan simpan dengan warna merah bagi menperingatkan agar pemuliharaan alam sekitar bermula daripada masyarakat setempat.

Dalam mencegah banjir buruk terus berulang, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Profesor Dr Mohd Ekhwan Toriman menggesa kerajaan agar meneliti semula undang-undang berkaitan alam sekitar.

Beliau mencadangkan agar undang-undang itu diperketatkan lagi dalam memastikan alam sekitar tidak terjejas.

Biarpun garis panduan itu wujud namun ia seolah-olah diabaikan oleh pihak agensi pembangunan sehingga menyebabkan projek yang dibangunkan menjejas alam sekitar.

"Contohnya kita ada garis panduan pembangunan hadapan sungai ataupun 'waterfront development', dekat situ jelas rizab sungai 40-50 meter perlu ada.  

"Hakikatnya, memang sukar nak laksana. Namun saya rasa garis panduan ini sekurang-kurangnya dapat mengikat pemaju untuk akur dan jikapun pemaju tidak akur di bawah EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) pemaju akan didenda ataupun diarah  memberhentikan kerja sehinggalah mematuhi syarat atau buat semula.

"Bagi pemaju denda RM500,000 tidak ada masalah, peraturan yang macam ini yang patut dilihat," katanya kepada Bernama.

Ekhwan turut menyuarakan pendapat agar penguatkuasaan daripada pihak yang bertanggungjawab perlu lebih proaktif dan cekap.

Pihak Jabatan Alam Sekitar perlu kerap menjalankan operasi tinjauan, lebih-lebih lagi di kawasan hulu dan tersorok di mana aktiviti pembangunan ladang kerap berlaku berhampiran sungai.

"Sudah tentu bila undang-undang sudah ketat, penguatkuasa juga perlu memainkan peranan penting dalam melaksanakan undang-undang," katanya.

Selain memperketatkan undang-undang, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Datuk Seri Dr Abd Rahman Abd Rahim menyarankan agar isu penggunaan tanah di negeri Kelantan perlu dibawa dan dibincangkan dalam Majlis Tanah Negara (MTN).

Melalui majlis itu sahaja, segala keputusan yang dicapai, kerajaan negeri perlu akur dan menerusinya juga masalah pembangunan perladangan yang drastik di Ulu Kelantan dapat diselesaikan.

"Apa yang berlaku di Kelantan sekarang ini adalah pembangunan tanah yang tidak terkawal dan tidak mengikut garis panduan.

"Isu tanah ini perlu dibincangkan dalam Majlis Tanah Negara, kerana apa sahaja ketetapan yang dibuat oleh Majlis Tanah Negara mesti dipatuhi," katanya.

Sementara itu, fenomena cuaca ekstrim seperti taburan hujan luar biasa di Kelantan pada tahun lepas adalah disebabkan faktor perubahan iklim, kata pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) Prof Dr Fredolin T. Tangang.

Episod cuaca ekstrem berkaitan iklim seperti banjir besar dan kemarau semakin mengganas di rantau ini.

Fredolin, yang juga Naib Pengerusi Kumpulan Kerja I Panel Antara Kerajaan Berkaitan Perubahan Iklim (IPCC) berkata laporan IPCC mengenai cuaca ekstrem yang diterbitkan pada tahun 2012 menunjukkan kekerapan kejadian cuaca ekstrem meningkat di merata pelosok dunia.

Oleh yang demikian, beliau menyarankan agar kerajaan membawa usul bagi melaksanakan satu kajian bersama negara-negara Asean terhadap perubahan iklim dunia dan kesannya kepada sosio-ekonomi rantau ini pada persidangan kemuncak Asean nanti.

"Ketika Malaysia menjadi Pengerusi Asean, adalah kena pada waktunya kita pakar-pakar di Malaysia menerajui usaha bersama saintis di rantau ini untuk menyelidik perubahan iklim serantau," katanya.

Melalui kajian terperinci ini para saintis boleh meramal perubahan cuaca di Asean dan mengambil langkah proaktif untuk masyarakat rantau ini mengharungi sebarang ancaman bencana bagi mengurangkan jumlah kematian dan kerugian harta benda.

Kajian itu juga membolehkan Asean membuat pelbagai perancangan pembangunan dan industri yang dapat mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dalam tempoh jangka masa panjang, ujar beliau. - Bernama