KUALA LUMPUR - Hari Polis ke-206 hari ini disambut dalam suasana kesayuan tetapi penuh patriotik.
   
Suasana hening seketika apabila balu dan waris anggota yang terkorban dalam krisis pencerobohan di Sabah, mengambil kenaikan pangkat pegawai dan anggota berkenaan.
   
Kesedihan jelas terpancar di wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menyampaikan kenaikan pangkat itu kepada anak tunggal DSP Michael Padel yang memakai baju kemeja dan berseluar hitam tanda masih berkabung atas kematian bapanya.
   
Kelapan-lapan pegawai dan anggota yang gugur itu mendapat kenaikan pangkat secara Medan Posthumous.
   
Mereka yang terkorban dalam pertempuran dengan pengganas militan di Kampung Tanduo pada 1 Mac ialah ASP Zulkifli Mamat, 29; dan Sjn Sabarudin Daud, 46; manakala anggota yang gugur di Semporna pada 2 Mac ialah ACP Ibrahim Lebar, 52; Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27; DSP Michael Padel, 36; Sjn Mejar Baharin Hamid, 49; Sjn Mejar Abdul Aziz Sakirun, 48; dan Sjn Salam Togiran, 42.
  
Sambutan Hari Polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di sini yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar bermula 8.30 pagi dengan perbarisan lintas hormat.
   
Perbarisan itu turut disertai 93 anggota barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam Operasi Daulat. Mereka diterbangkan khas dari Sabah untuk sambutan Hari Polis itu.
   
Kumpulan yang terdiri daripada 50 anggota dan 13 pegawai Komando VAT69 dan Jabatan Siasatan Jenayah itu mengenakan pakaian seragam lengkap semasa operasi di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
   
Sambutan Hari Polis, yang bertemakan 'Komuniti Sejahtera Komitmen Kami' itu antara lain mengetengahkan revolusi kepolisan negara sejak zaman Kesultanan Melayu hingga kepada usaha pasukan keselamatan itu ke arah perkhidmatan masyarakat bertaraf dunia.
   
Tiga era perkhidmatan PDRM itu ialah dari zaman Kesultanan Melayu sehingga negara mencapai kemerdekaan; pasukan polis di zaman pasca merdeka sehingga era komunis; dan menuju era kepolisan bertaraf antarabangsa.
   
Pada sambutan kali ini buat pertama kalinya, pasukan polis mempersembahkan lagu tema perbarisan sempena sambutan Hari Polis. - Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kabinet telah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk melakukan siasatan terhadap piawaian keselamatan di semua pusat tahfiz seluruh negara bagi memastikan kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini baru-baru ini tidak berulang.
  • KUALA LUMPUR - "Umat Islam dituntut supaya melakukan suatu tranformasi atau perubahan minda dan budaya hidup yang berteraskan ajaran Islam yang sebenar-benarnya dalam konteks hijrah pada masa ini," kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • KUALA LUMPUR - Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat atas jemputan Presiden Donald J. Trump seharusnya menjadi sesuatu yang diterima baik rakyat, bukannya diperkecilkan, kata bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Dr Awang Adek Hussin.
  • KUALA LUMPUR - Penganalisis memuji komitmen Malaysia untuk meningkatkan lagi hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) berikutan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Washington DC, baru-baru ini.
  • KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa masyarakat Cina negara ini supaya mengemukakan lebih ramai wakilnya kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang pelbagai kaum pada pilihan raya umum akan datang.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.